CFMOTO Voom 500SR (2024) Tiba Di Seberang, RM 53.5k, Malaysia Menyusul?

TERKINI

8/30/20241 min read

SYARIKAT pengedar rasmi jenama CFMoto di Indonesia, PT MForce Indonesia, baru-baru ini mencipta kejutan dengan memperkenalkan penawaran baharunya di negara itu iaitu model 'Sportbike' unik bersesaran 500 cc, 4 Silinder, CFMoto Voom 500SR (2024).

Baru saja dilancarkan di pasaran China beberapa bulan lalu, harga yang ditawarkan untuk CFMoto Voom 500SR (2024) di pasaran seberang itu adalah Rp 192 juta (RM 53,480).

Dilancarkan sempena CFMoto Day 2024 di Jakarta, dua pilihan warna ditawarkan untuk CFMoto Voom 500SR (2024) iaitu:

  • CF Blue

  • Nebula White

Tidak seperti model-model yang menggunakan nama 'SR' lain seperti CFMoto 250SR dan CFMoto 450SR, CFMoto Voom 500SR (2024) tampil dengan rekaan agak berbeza.

Dengan rekaan 'fairing' yang mendapat inspirasi model-model era-90an dari jenama Jepun, apa yang unik adalah rekaan lampu depan yang juga lampu siang (DRL) berbentuk bulat.

Selain berfungsi sebagai lampu DRL, ia turut berfungsi sebagai lubang angin atau 'air scoop'.

Dari sudut rekaan, ia mungkin nampak seperti watak kartun mirip model Papio dengan tambahan gaya retro dan lebih gagah.

Begitupun jangan terpedaya dengan reka bentuknya, CFMoto Voom 500SR (2024) berdasarkan katalognya dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 220 km/j.

Mengulas trenkuasa, CFMoto Voom 500SR (2024) dijana enjin 499 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejukl Cecair, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan lengkap 'Slipper' klac.

Kuasa yang dihamburkan adalah 78 Hp pada 12,500 rpm dan tork 49 Nm pada 10,000 rpm.

Turut dilengkapi 'Traction Control', dua mod tunggangan, antara ciri menarik yang dipadankan kepada CFMoto Voom 500SR (2024) adalah panel meter TFT berwarna dengan sambungan ke telefon pintar, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan pelbagai lagi.

Berdasarkan informasi yang diperoleh, pihak CFMoto Malaysia dikhabarkan turut merancang dan tidak mahu menunggu lama untuk membawa masuk CFMoto Voom 500SR ke pasaran tempatan.