CFMOTO x KALEX Di EICMA 2026!

Sebagai cara untuk menayangkan kerjasama strategik dengan KALEX yang juga pengeluar casis perlumbaan terkenal, CFMoto menampilkan sebuah jentera Moto2 yang lengkap dengan liveri CFMOTO di pentas pameran berprestij itu

TERKINI

11/8/20261 min read

PENGELUAR motosikal terkemuka China, CFMOTO seperti diketahui dalam usahanya menggegar pentas perlumbaan 2 roda dunia menjalin kerjasama dengan pengeluar casis perlumbaan terkenal, KALEX dan gabungan kedua-duanya mencuri tumpuan di pentas EICMA 2026, baru-baru ini.

Sebagai cara untuk membuktikan kerjasama itu, CFMoto menayangkan sebuah jentera Moto2 yang lengkap dengan liveri CFMOTO Racing di pameran berprestij itu.

CFMOTO menjelaskan kerjasama strategik dengan KALEX menggabungkan kepakaran kejuruteraan yang saling melengkapi serta inovasi dalam dunia perlumbaan permotoran peringkat tertinggi.

Dari segi spesifikasi, jentera perlumbaan yang ditayangkan dibina berasaskan casis aluminium perlumbaan KALEX yang dipadankan bersama enjin bersesaran 765 cc, 3 Silinder Sebaris yang ditala khusus untuk tujuan pertandingan.

Hasilnya, jentera yang hanya memiliki berat keseluruhan 140 kg ini mampu menghamburkan kuasa luar biasa mencecah 140 Hp, membolehkannya memecut sehingga kelajuan maksimum 300 kilometer sejam (km/j).

Bagi memastikan prestasi optimum di litar, motosikal ini turut dilengkapi dengan sistem elektronik perlumbaan spesifikasi Moto2, komponen gentian karbon-aramid yang ringan dan kukuh, serta sistem brek berprestasi tinggi daripada Brembo.

Pemilihan KALEX sebagai rakan kerjasama strategik adalah langkah tepat memandangkan pengeluar casis itu memiliki rekod dominasi luar biasa dalam kelas Moto2, dengan himpunan 13 gelaran dunia kategori pelumba, 14 kejuaraan dunia pengeluar, dan merekodkan lebih 200 kemenangan setakat ini.

CFMOTO kini bergiat aktif dalam saingan Grand Prix menerusi pasukan CFMOTO Aspar Team. Jenama ini mula menyertai kelas Moto3 pada 2022, sebelum melangkah ke kelas Moto2 pada 2024 dan melakar sejarah sebagai pengeluar dari China pertama yang memenangi perlumbaan dalam kategori berkenaan.

Setakat ini, CFMoto sudah mengumpul lebih 100 penamat di pentas podium bagi kedua-dua kategori. Kecemerlangan mereka diteruskan pada tahun 2026 apabila pasukan itu sekali lagi merangkul gelaran dunia Moto3 menerusi pelumbanya, Máximo Quiles.