CIPTA Rekod Baharu WorldSBK, Ini Reaksi 'Lawan' Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/15/20242 min read
TOPRAK Razgatioglu mencetak namanya dalam rekod WSBK dengan merangkul kemenangan ke-13 WorldSBK secara berturut-turut yang dilakukan pada minggu lalu di Portimao, Portugal.
Apa yang menariknya, pencapaian hebat itu berjaya dicapai pelumba kelahiran Turki itu sekalipun menyertai pasukan baharu musim ini, ROKiT BMW Motorrad WorldSBK daripada Yamaha.
Selain 13 kemenangan berturut-turut, kejayaan di Portimao adalah gelaran 'treble' atau hatrik keempat berturut-turut buat Razgatlioglu dengan deretan kemenangannya bermula dari Perlumbaan 2 di Assen, Belanda.
Tampil dengan dominasi penuh ketika di Republik Czech, pelumba berusia 27 tahun itu tampak sedikit goyah di Portimao tetapi ia tidak boleh menidakkan apa yang dicapainya cukup mengagumkan.
Sebelum ini, rekod kemenangan berturut-turut (11 kemenangan) dikongsi dua pelumba, Alvaro Bautista dan Jonathan Rea yang masing-masing melakukannya pada musim 2023 dan 2018.
Berikut adalah kata-kata daripada pencabarnya musim ini mengenai prestasi yang ditampilkan Razgatlioglu.
Alex Lowes (Kawasaki Racing Team)
"Tempoh saya di WorldSBK didominasi oleh (Jonathan Rea), yang menjadi salah seorang pelumba terbaik, dan kini kita mempunyai Toprak. Penghormatan yang penuh kepadanya, dia melakukan kerja yang menakjubkan. Sejurus dia sudah membiasakan diri dengan BMW, dia hampir tidak boleh dikalahkan sekarang. Dia pelumba yang berbakat, dan lebih daripada itu, lebih penting lelaki yang menakjubkan."
Danilo Petrucci (Barni Spark Racing Ducati)
“Toprak, saya sudah katakan banyak kali, ketika ini berada setapak lebih maju berbanding semua orang. Dia nampak benar-benar selesa dan tenang dengan jenteranya, dan dia juga salah seorang pelumba paling berbakat pernah saya jumpa. Dia hanya melakukan kerjanya, menguruskan jentera tanpa sebarang isu, jadi dia ada jentera yang bagus tetapi sudah pasti, dia mempunyai bakat yang hebat. Saya fikir kita akan melihat angka ini akan meningkat kerana saya tidak nampak sesiapapun mampu benar-benar bersaing dengannya."
Michael Van der Mark (ROKiT BMW Motorrad WorldSBK)
"Menakjubkan untuk disaksikan. Bagus untuk berkongsi 'box' dengannya, saya boleh belajar banyak perkara daripadanya dan saya fikir dia salah satu sebab mengapa saya semakin lama semakin hampir ke podium. Memilikinya di 'box' adalah menakjubkan dan lebih baik adalah saya bekerja bersamanya dan mahu membantu satu sama lain."
Alvaro Bautista (Aruba.it Racing - Ducati)
"Saya fikir 11 mengagumkan, dan 13 jauh lebih mengagumkan. Mereka (BMW) melakukan kerja yang amat bagus dan tahniah kepada mereka semua kerana menghasilkan jentera yang benar-benar kompetitif dan Toprak mengadaptasinya dengan amat baik di BMW dari Yamaha. Jadi, tahniah."
Nicolo Bulega (Aruba.it Racing - Ducati)
"Apa yang perlu saya katakan? Menakjubkan pada tahun ini, Toprak, dia amat laju, BMW juga menjalankan kerja yang amat bagus. Saya fikir mereka mempunyai pakej yang amat baik, kerana seorang lagi pelumba BMW juga sedang meningkat. Jadi kamu dapat lihat kerja yang mereka lakukan adalah baik."
Andrea Iannone (Team GoEleven Ducati)
Toprak sudah pasti mempunyai bakat yang bagus. Ketika ini saya fikir dia juga mempunyai jentera yang baik, pakej yang bagus, jadi ia bukan saja membabitkan jentera, ia adalah pelumba, jentera, pasukan, semuanya bekerjasama dengan bagus. Pada akhirnya, ia adalah rahsia untuk langkah terakhir."