COTA 2024 Milik Maverick Vinales, Aprilia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/15/20242 min read

MAVERICK Vinales menjulang Aprilia untuk menjuarai perlumbaan penuh epik MotoGP Grand Prix (GP) Amerika Syarikat 2024, awal pagi tadi sekaligus mencipta sejarah menjadi pelumba pertama memenangi perlumbaan MotoGP bersama tiga pengeluar berbeza di era 4 lejang.

Memulakan perlumbaan di petak utama, Vinales begitupun terpaksa menghuni kedudukan ke-11 sebelum mencipta kebangkitan menakjubkan pada perlumbaan yang turut menyaksikan 'pakar' COTA (Circuit of the Americas), Marc Marquez terjatuh ketika sedang mendahului.

Pelumba 'Rookie' sensasi, Pedro Acosta turut berpeluang meraih kemenangan sulungnya di MotoGP selepas beberapa kali mendahului perlumbaan sebelum terpaksa berpuas hati menamatkan aksi di tangga kedua.

Ia adalah kedudukan podium kedua berturut-turut pelumba pasukan satelit KTM, Red Bull GasGas Tehc3 itu selepas meraih tempat ketiga di Portimao, Portugal.

Melengkapkan kedudukan podium di Austin, Texas adalah pelumba pasukan Ducati Lenovo, Enea Bastianini.

Jorge Martin (Pramac Ducati) yang pada satu ketika turut mendahului perlumbaan melepasi garisan penamat di kedudukan keempat diikuti penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia.

Pelumba terbaik Ducati yang menggunakan jentera GP23, Fabio Di Giannantonio dari VR46 Ducati melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh diikuti rakan sepasukan Vinales, Aleix Espargaro.

GP Amerika Syarikat sekali lagi menjadi medan mengecewakan buat pengeluar Jepun apabila pelumba terbaik melepasi garisan penamat adalah Fabio Quartararo dari Monster Yamaha di tangga ke-12 manakala rakan sepasukannya, Alex Rins yang juga juara tahun lalu tak menamatkan perlumbaan.

Pelumba terbaik Honda sekali lagi Luca Marini namun menamatkan aksi di luar kedudukan mata di tangga ke-16.

Tiga lagi pelumba Honda di grid, Joan Mir, Johann Zarco dan Takaaki Nakagami menamatkan perlumbaan dengan status DNF (Tak tamatkan perlumbaan).

Berikut keputusan perlumbaan MotoGP GP Amerika Syarikat 2024

  1. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), 41m 9.503s

  2. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +1.728s

  3. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +2.703s

  4. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +4.690s

  5. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +7.392s

  6. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +9.980s

  7. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +12.208s

  8. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +13.343s

  9. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +14.931s

  10. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +16.656s

  11. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +18.542s

  12. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +22.899s

  13. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +24.011s

  14. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +27.652s

  15. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +32.855s

  16. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +33.529s

Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), DNF

Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF

Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), DNF

Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), DNF

Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), DNF