CRYPTODATA RNF MotoGP Racing Nafi Berdepan Masalah Kewangan, Kenyataan Pierer Tak Tepat!

TULAR

7/25/20231 min read

DAKWAAN bos KTM, Stefan Pierer mengenai situasi kewangan meruncing yang dihadapi pasukan kedua Aprilia di MotoGP, atau tanpa kiasan Cryptodata Aprilia RNF MotoGP Racing adalah tidak tepat.

Pierer mengeluarkan kenyataan 'panas' itu ketika ditanya mengenai perancangan pihaknya yang perlu memiliki 5 pelumba di atas grid MotoGP pada musim depan.

Dan salah satu perancangan termasuklah pendedahan Pierer iaitu mengambil 'tiket' yang dimiliki pasukan satelit dan salah satu pasukan yang 'dipetik' adalah Cryptodata Aprilia RNF MotoGP Racing kendalian Datuk Razlan Razali.

Terkesan dengan dakwaan itu, pasukan yang akan mengebarkan Jalur Gemilang andai pelumbanya meraih kemenangan di MotoGP itu mengeluarkan kenyataan balas ringkas dan menegaskan ia tidak tepat dan maklumat itu adalah salah.

"Kami ingin memberi jaminan kepada semua yang, bertentangan dengan apa yang mungkin didengar oleh bos KTM, syarikat kami terus bergerak maju ke depan dengan kelajuan penuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif CryptoDATA, Ovidiu Toma, dalam kenyataan ringkas.

"Kedudukan kewangan kami berjalan dan berfungsi seperti enjin jentera lumba yang mendapat pelarasan terbaik.

"Terus setia bersama kami dan tinggalkan mereka yang masih mempunyai keraguan dan gemar mendengar khabar angin di cermin belakang."

Selepas meninggalkan Yamaha penghujung musim lalu, CryptoData RNF MotoGP Team menjalinkan kerjasama dengan pengeluar Itali, Aprilia bermula tahun ini bersama pelumbanya, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira.

Tetapi ketika Aprilia diharapkan berpotensi untuk menjadi pencabar utama kepada Ducati musim ini, pasukan itu berdepan beberapa masalah antaranya kecederaan yang menimpa Oliveira yang menyaksikan dia terpaksa disisihkan beberapa perlumbaan susulan kecederaan.

KTM dalam pada itu berada dalam dilema selepas sudah berjanji kepada 'anak emasnya' di Moto2, Pedro Acosta tempat di MotoGP 2024 dengan keempat-empat pelumbanya di pasukan Red Bull KTM Factory Racing dan GasGas Factory Racing Tech3 memiliki kontrak sehingga penghujung musim 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif CryptoDATA, Ovidiu Toma