CUACA Tak Menentu Ganggu Prestasi Triple Eight JMR Pada Perlumbaan 1 Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

4/20/20241 min read

TIADA kedudukan di pentas podium diperoleh pasukan Triple Eight JMR pada Perlumbaan 1 kejuaraan GT World Challenge Asia (2024) yang berlangsung Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Berlumba menggunakan jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo, pasukan yang dipacu Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan rakan sepasukannya, Jordan Love terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.

Dan keadaan cuaca tidak menentu yang menyaksikan perlumbaan terpaksa dimulakan agak lewat menjadi antara faktor kejayaan podium yang diraih musim lalu tak berjaya diulang.

Anakanda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu bersama gandingannya, Jordan Love mencatatkan masa 1 jam 02:42.390 saat (26 pusingan) pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

"Keadaan cuaca mencabar hari ini, terutama keadaan litar yang semakin mengering ketika saya turun berlumba," kata Tunku Abu Bakar.

"Untuk mengadaptasi keadaan yang sering berubah sentuasa memberi kesukaran. Apapun, kami fokus kepada keseluruhan saingan, dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang pada Perlumbaan 2."

Pada musim lalu, Tunku Abu Bakar berjaya meraih dua kedudukan podium pada Pusingan di Sepang dalam saingan yang menyaksikannya menamatkan kempen keseluruhan di kedudukan ketiga.

Perlumbaan 1 kejuaraan GT World Challenge Asia (2024) di Sepang, hari ini dimenangi pasukan FAW Audi Sport Asia Racing Team yang diwakili Cheng Congfu-Adderly Fong.

Tempat kedua menenang pasukan VSR menerusi gandingan Bian Ye, Edoardo Liberati dan tempat ketiga menjadi milik pasukan Origine Motorsport menerusi gandingan Bo Yuan-Leo Ye Hongli.