CUB Prix 2023: Afif Amran Cemerlang Di Laman Sendiri, Yamaha Kuasai Podium CP150 Di Kuala Terengganu!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/23/20232 min read

JAGUH tuan rumah, Ahmad Afif Amran dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing membuktikan dia memang sukar digugat di gelanggang sendiri - Kuala Terengganu dengan menjulang kemenangan kelas utama Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023, hari ini.

Lebih menarik, pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang turut berasal dari Terengganu turut meraih kedudukan 1,2 selepas seorang lagi pelumbanya Md Akid Aziz menamatkan saingan selaku naib juara.

Perlumbaan di Terengganu turut cemerlang buat Yamaha apabila ketiga-tiga tempat di podium diisi pelumba jenama itu selepas Kasma Daniel Kasmayuddin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) meraih tempat ketiga.

Menyifatkan kempen di Terengganu sebagai antara trek kegemaran, Afif berkata dia diberikan cabaran yang sengit daripada Akid yang digambarkan sebagai memiliki kelajuan yang 'padu' ketika perlumbaan.

"Saya cuba ikuti dia (Akid) dari pusingan pertama sehingga ke pusingan kedua terakhir sebelum memintas, di selekoh sebelah kiri. Rancangan saya memang untuk mendapat tempat pertama maka saya mengatur strategi yang betul dan Syukur, strategi tersebut berjaya," kata Afif.

Mengulas mengenai trek di Kuala Terengganu, Afif berkata: "Ia adalah trek yang kecil tetapi mempunyai selekoh yang laju. Itu memberikan cabaran kepada semua pelumba untuk mempunyai “setup” yang lebih baik dari segi suspensi.

"Saya amat puas hati minggu ini dan gembira kerana sepanjang hujung minggu ini, pasukan kami telah menunjukkan suatu pencapaian yang baik dan positif.”

Selain kelas utama, Yamaha turut melakar kemenangan dalam kelas CP125 menerusi Md Adia Putra Sukarno dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor di Kuala Terengganu.

"Perlumbaan kali ini memang agresif. Saya bermula di petak grid ketiga maka memang susah untuk tutup ruang di antara pelumba di bahagian kiri. Tetapi, Syukur saya masih sempat juga.

"Saya suka selekoh terakhir di trek ini kerana ia memberikan saya kelebihan untuk ke selekoh pertama dengan cepat. Saya tidak jangkakan kemenangan ini tetapi saya sangat gembira. Saya memang buat yang terbaik.”

Meraih kedudukan selaku naib juara adalah Md Shafiq Ezzariq (JetronYamaha YYPang Racing) dan Md Aiman Tahiruddin dari pasukan (Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing) ketiga.

Dalam pada itu, Honda meraih kemenangan dalam kelas Wira KBS menerusi pelumbanya, Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Bad Lad Honda KC Racing Team.

Tempat kedua dimenangi Amirun Haziq Johan (Petronas printa Yamaha – 31 Racing) dan rakan sepasukan Emil, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas melengkapkan kedudukan podium.

Kedudukan Podium Pusingan 7 Cub Prix 2023 Kuala Terengganu

CP150

1. Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING

2. Md Akid Aziz, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING

3. Kasma Daniel Kasmayudin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR

CP125

1. Md Adie Putra Sukarno, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR

2. Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM

3. Md Aiman Tahiruddin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING

Wira KBS

1. Emil Idzhar Ezuan, YAMAHA ESTREMO 27 RACING

2. Amirun Haziq Johan, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING

3. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, BAD LAB HONDA KC RACING