CUB Prix 2023: Akid Kukuh Posisi Di Puncak, Juarai Aksi Sulung Di Medini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/7/20232 min read

MOHD Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu kelas elit CP150 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023 dengan meraih kemenangan di Medini, Johor, hari ini.

Kemenangan di pusingan kelapan turut menyaksikan Akid mencipta sejarah sebagai juara sulung perlumbaan yang buat pertama kali dijalankan di Litar Bandar Medini Iskandar itu.

Memulakan perlumbaan dari petak pertama, Akid berjaya memimpin perlumbaan namun pada beberapa pusingan terakhir, dia 'memperlahankan' rentak untuk mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.

“Litar ini agak mencabar bagi saya. Banyak yang harus diperbaiki. Dari segi jentera, memang tiada masalah kerana jentera saya dalam keadaan yang bagus. Tetapi, untuk mengejar dan mengekalkan kelajuan secara konsisten agak sukar di litar ini kerana ada banyak selekoh yang sempit.

"Litar ini agak teknikal dan juga tidak begitu rata. Di perlumbaan tadi, saya dah agak yang saya akan bertarung dengan dua tiga orang pelumba tetapi saya tidak sangka saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat pertama tanpa sebarang gangguan daripada pelumba-pelumba lain. Saya memang sedar yang Azroy (Hakeem Anuar) semakin dekat dan pantas.

"Saya pun kurangkan kelajuan pada lap terakhir untuk mengelak sebarang kesalahan. Bagi keadaan jentera saya, saya ada berbincang dengan Afif mengenai pelarasan. Itu adalah kelebihan yang besar bagi saya. Matlamat saya adalah untuk mendapat juara keseluruhan. Itu adalah perkara yang sukar kerana pelumba dan jentera harus sentiasa bersedia.”

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Esptremo Team menamatkan aksi di tangga kedua dan melengkapkan podium adalah Mohd Iqbal Amri (Givi Tekhne Yamaha).

Dalam kelas CP125, Md Khairi Ashraf dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team yang turut memburu gelaran keseluruhan meraikan kemenangan di laman sendiri Johor. Rakan sepasukannya, Md Fareez Afeez meraih tempat kedua diikuti Ahmad Syukran Aizat (Tekhne Yamaha) ketiga.

Sementara itu, Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing meraih kemenangan kelas Wira KBS. Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Amirun Haziq Johan meraih tempat kedua dan melengkapkan kedudukan di podium adalah Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing.

Kedudukan 5 Terbaik Setiap Ketegori Pusingan 8 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023 Di Medini, Johor

CP150

1. Md Akid Aziz, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 14 minit 29.313 saat

2. Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY ESTREMO TEAM, 14:30.938

3. Md Iqbal Amri Abdul Malek, GIVI TEKHNE YAMAHA, 14:33.707

4. Nazirul Izzat Md Bahauddin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:36.434

5. Kasma Daniel Kasmayudin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:36.920

CP125

1. Md Khairi Asyraf Mahmood, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 11:34.554

2. Md Fareez Afeez Abd Rahman, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 11:35.047

3. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff, TEKHNE YAMAHA, 11:35.654

4. Md Hafiza Rofa, ONEXOX TKKR RACING TEAM, 11:36.983

5. Md Adam Haikal Jahar, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING, 11:37.072

Wira KBS

1. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, BAD LAB HONDA KC RACING, 09:28.803

2. Amirun Haziq Johan, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING, 09:29.081

3. Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 09:33.021

4. Emil Idzhar Ezuan, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 09:33.451

5. Adib Hareez Hazwat, BAD LAB HONDA KC RACING, 09:37.669