CUB Prix 2024: Akid Aziz, Petronas Yamaha-CKJ Unggul Di Melaka, Tak Jangka Kekal Kemenangan!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/4/20241 min read

PENYANDANG juara CP150, Md Akid Aziz menampilkan tunggangan sempurna untuk menjuarai Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2024 di Jasin Bestari, Melaka, semalam dalam kejayaan yang dijangkakan pada awalnya sukar untuk diperoleh.

Beraksi di litar basah, pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu memulakan perlumbaan di petak utama berdasarkan catatan ketika kelayakan pada Sabtu sekalipun sesi Superpole tidak berlangsung berikutan hujan lebat.

Dan pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menunjukkan sebarang masalah untuk memimpin kejuaraan sehingga penamat catatan masa 17:17.228 saat beserta jurang yang agak selesa.

"Saya tidak menjangka dapat menang pada hari ini kerana saya hanya sasarkan kedudukan lima ke atas lebih-lebih lagi dengan keadaan litar basah di mana kesilapan agak senang berlaku.

“Untuk perlumbaan akan datang nanti, saya dan pasukan saya akan terus membuat penambahbaikan untuk keputusan yang konsisten,” katanya.

Menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah pelumba Honda, Azroy Hakeem Anuar (Honda Estremo Yuzy Racing) diikuti rakan sepasukan Akid, Ahmad Afif Amran ketiga.

Dalam pada itu, pelumba Honda KC Racing, Md Irfan Haykal Amidi menjuarai kelas CP125 dengan penyandang juara musim lalu, Md Khairi Asyraf Mahmood (Jetron Yamaha YYPang Racing) terpaksa berpuas hati di tangga kedua.

Dan melengkapkan kedudukan podium adalah Md Syamil Amsyar Md Iffende dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing.

Sementara itu, kelas Wira KBS menyaksikan kemenangan menjadi milik pelumba pasukan Honda KC Racing, Md Akif Abdullah.

Tempat kedua milik pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam manakala pelumba Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing, Farres Putra Md Fadhil lengkapkan kedudukan podium.