CUB Prix 2024: Akid Aziz Sahkan Gelaran Keseluruhan CP150 di Medini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/9/20241 min read
PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz sah dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas elit CP150 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2024.
Kejayaan itu diperoleh pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu di pusingan ke-9 yang berlangsung di Litar Bandar Medini Iskandar, Johor.
Lebih menarik, Akid yang memerlukan hanya tiga mata untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal sebelum pusingan akhir di Pulau Pinang merangkul mata maksimum dengan menjuarai perlumbaan.
Pada perlumbaan yang berlangsung di litar basah susulan hujan dan turut mengakibatkan sesi 'Superpole' dibatalkan, Akid tampak benar-benar mahukan kemenangan dan tampil dengan tunggangan cukup agresif.
Sekalipun pada satu ketika cuba dicabar pelumba Honda, Azroy Hakeem Anuar, kemalangan membabitkan pelumba itu menyaksikan Akid selesa memimpin perlumbaan dan melepasi garisan penamat sebagai juara.
Mengikuti pelumba berusia 26 tahun itu di tempat kedua adalah rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran dan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin ketiga.
"Perjalanan kempen saya pada musim ini agak bagus malah hanya satu pusingan saya tidak berada di podium iaitu di Sepang," kata Akid. "Terima kasih kepada pasukan, krew, kawan-kawan serta keluar yang menyokong saya."
Sementara itu, kategori CP 125 turut dimenangi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing Md Izam Ikmal.
Irfan Haykal dari pasukan Honda KC Racing mendapat tempat kedua dan Haziq Hamdan dari pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing melengkapkan podium.
"Terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan saya dengan jentera yang baik. Perlumbaan tadi agak sengit dan saya juga nampak Irfan agak aggresif.
"Tetapi, saya cuba mengekalkan momentum kerana terutamanya di keadaan litar yang basah dan elak sebarang kesilapan. Ini adalah rezeki saya pada hari ini dan saya amat bersyukur."
Dalam kelas Wira KBS, Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing meraih kemenangan diikuti Farres Putra (PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing) kedua dan Akif Abdullah (Honda KC Racing) ketiga.
"Saya amat gembira untuk menang di negeri kelahiran saya dan saya memang menunggu saat ini terutama selepas saya hanya menamatkan perlumbaan tahun lalu di tempat ke-10," kata Adib.