CUB Prix 2024: Akid Cemerlang Di SIC Selatan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/21/20242 min read
AKID Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing terus menjarakkan jurang di carta kejuraan kelas CP150 Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024 dengan menjuarai perlumbaan Pusingan 5 di Sepang, hari ini.
Kemenangan di Litar Antarabangsa Sepang Selatan itu adalah yang kedua berturut-turut buat penyandang juara itu selepas turut memenangi Pusingan 4 di Teluk Intan sebelum ini.
Memulakan perlumbaan di petak utama selepas mengungguli sesi Superpole, Akid seperti sukar dicabar selepas melepasi garisan penamat dengan jurang besar lebih lapan saat di depan pencabar terdekatnya.
"Saya rasa ini adalah pelarasan terbaik untuk saya setakat ini dan untuk pusingan ini," kata Akid. "Enjin saya juga berada dalam keadaan cukup baik.
"Cuma saya tidak sangka dalam perlumbaan saya dapat menjarakkan jurang begitu jauh. Jika ikutkan saya tidak pernah lagi merasa meninggalkan kumpulan sejauh itu.
"Saya juga tidak tahu situasi di belakang saya, apa yang terjadi. Apapun saya bersyukur dapat menang dengan jarak yang menakjubkan ini."
Mengapit pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu adalah duo pelumba pasukan Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy.
Dalam kelas CP125, kemenangan turut menjadi milik pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing menerusi Md Izam Ikmal Izamli yang juga kemenangan sulungnya musim ini.
Mengikuti Izam adalah Md Adie Putra Sukarno (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dan Md Syamil Amsyar Md Iffende (Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing) ketiga.
Dalam kelas Wira KBS, Farres Putra Md Fadhil dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing menjuarai perlumbaan dengan Md Aiman Md Hafis (Brothers 7 Tech Racing) dan Md Iman Fahmi Senin (Winbox KM+ Axla) melengkapkan kedudukan podium.
Keputusan Pusingan 5 Cub Prix 2024 (5 terbaik)
CP150
Md Akid Aziz - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (13'55:159s)
Azroy Hakeem Anuar - HONDA ESTREMO YUZY RACING (14'03:852s)
Shahrol Syazras Shahrol Yuzy - HONDA ESTREMO YUZY RACING (14'04:498s)
Md Syafiq Rosli - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14'05:222s)
Md Shafiq Rasol - ONEXOX TKKR RACING TEAM (14'05:224s)
CP125
Md Izam Ikmal Izamli - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (11'02:110)
Md Adie Putra Sukarno - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (11'02:293s)
Md Syamil Amsyar Md Iffende - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (11'02:305s)
Danial Johan - ONEXOX TKKR RACING TEAM (11'02:550s)
Md Shafiq Ezzariq - JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (11'02:674s)
Wira KBS
Farres Putra Md Fadhil - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (9'51:292s)
Md Aiman Md Hafis - BROTHERS 7 TECH RACING (9'51:739s)
Md Iman Fahmi Senin - WINBOX KM+ AXLA (9'53:491s)
Raiyan Khardanee Md Sanusi - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (9'54:109s)
Md Akif Abdullah - HONDA KC RACING (9'54:136s)