CUB Prix 2024: Akid 'Hampiri' Gelaran Keseluruhan CP150
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/29/20242 min read


PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz semakin menghampiri gelaran keseluruhan CP150 selepas menjuarai Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.
Lebih menarik, keputusan di Jempoh adalah kemenangan 1-2 buat PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing selepas seorang lagi pelumba pasukan itu, Ahmad Afif Amran menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Md Helmi Azman daripada pasukan SCK Honda Racing melengkapkan podium yang juga podium pertama dalam kempen kali ini.
Memulakan perlumbaan di petak utama, Akid membuktikan kemampuan yang dimiliki jenteranya untuk mendahului perlumbaan dan hanya bersaing dengan rakan sepasukannya Afif berikutan jurang dengan kelompok kedua.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan motor yang sangat baik. Jika kita melihat kedudukan perlumbaan, jelas terdapat banyak peningkatan," kata Akid.
"Menang bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan usaha dan strategi yang teliti. Kami akan berusaha lebih keras pada pusingan akan datang."
Dalam pada itu, pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende memenangi perlumbaan kelas CP125 dengan 'duo' pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing, Md Khairi Asyraf Mahmood dan Abdullah Qayyum Abd Razak melengkapkan podium.
Syamil mengakui perlumbaan di Jempol kali ini amat mencabar buatnya.
"Saya berusaha untuk mengikuti 'pace' Izam, tetapi dia menghadapi masalah dengan jenteranya," kata Syamil. "Ketika itu, Qayyum pula cuba memintas saya, jadi saya mengikutinya dari belakang.
"Pada pusingan terakhir, saya terus cuba memintas Qayyum, dan Alhamdulillah, perlumbaan kali ini memihak kepada saya."
Sementara itu, kemenangan kategori Wira KBS menjadi milik pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam sekaligus mengubati kekecewaan di laman sendiri Tangkak pada Pusingan 7.
"Sejujurnya, saya tidak memikirkan apa-apa, hanya fokus untuk menang," kata Adib. "Perlumbaan di Tangkak, tempat kelahiran saya, sebelum ini saya gagal menghabiskannya dan saya berasa cukup kecewa. Semasa perlumbaan kali ini, saya hampir terjatuh, dan itu mengejutkan saya.
"Namun, saya tetap berusaha mengejar pelumba di hadapan semampu mungkin. Alhamdulillah, saya berjaya meraih kemenangan. Semalam adalah hari jadi bapa saya, dan ini adalah hadiah istimewa untuknya serta untuk pasukan saya."
Dalam aksi menarik di Jempol, tempat kedua diraih Md Akid Md Shah Khearul Nisiam (Yamaha Estremo 27 Racing) dan Farres Putra Md Fadhil (PETRONAS Sprinta Yamaha 31 - Racing) melengkapkan podium.
Podium Pusingan 8 Cub Prix 2024 di Jempol, Negeri Sembilan
CP150
1. Md Akid Aziz - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (14'49:831s)
2. Ahmad Afif Amran - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (14'52:702s)
3. Md Helmi Azman - SCK HONDA RACING TEAM (14'59:548s)
CP125
1. Md Syamil Amsyar Md Iffende - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (11'43:733s)
2. Md Khairi Asyraf Mahmood - JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (11'44:814s)
3. Abdullah Qayyum Abd Razak - JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (11'45:410s)
Wira KBS
1. Md Adib Arsyad Md Hisam - YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9’30:167s)
2. Md Akid Md Shah Khearul Nisiam - YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9’30:280s)
3. Farres Putra Md Fadhil - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (9’30:511s)
