CUB Prix 2024: Akid Intai Podium Di Jempol
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/25/20242 min read


PENDAHULU kelas elit CP150 PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024, Akid Aziz belum mahu berfikir mengenai gelaran keseluruhan sebaliknya fokus untuk merangkul podium di Jempol, Negeri Sembilan minggu ini.
Selepas tujuh pusingan, pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu ketika ini gah di puncak carta selepas mengumpul 150 mata dan rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran kedua dengan 107 mata.
Berbaki tiga lagi pusingan termasuk di Jempol, secara matamatik, kedudukan pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu boleh dikatakan selesa tetapi ia masih belum boleh dianggap selamat untuk mempertahankan kejuaraan yang diperolehnya musim lalu.
Justeru daripada berfikir mengenai kejuaraan, Akid yang sudah mengutip lima kemenangan musim ini berkata pemburuan podium lebih penting buatnya ketika ini.
"Untuk pusingan seterusnya, saya yakin yang pasukan-pasukan lain akan memberikan saingan yang sengit tetapi pelan saya adalah untuk kekalkan matlamat saya dan tamatkan perlumbaan di podium," kata Akid.
"Untuk pusingan seterusnya, saya akan cuba kumpul sebanyak mata yang mungkin dan mengambil jalan yang lebih selamat untuk mengekal kesilapan.
"Bagi saya, semua pelumba masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tetapi apa yang penting adalah kerjasama di antara mereka dan pasukan untuk memastikan jentera dalam keadaan optimum untuk mencapai pencapaian yang lebih bagus.”
Sekalipun peluang untuk bergelar juara masih belum tertutup, tetapi bagi Afif keutamaanya adalah untuk mengekalkan kedudukannya berikutan cabaran daripada beberapa pelumba masih sengit.
Menghuni tangga ketiga keseluruhan ketika ini adalah Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing dengan 95 mata dan Kasma Daniel (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ke-4 dengan 88 mata.
"Kelebihan saya mungkin dari segi pengalaman dan kekurangan saya adalah berat badan saya yang lebih berat berbanding dengan pelumba-pelumba yang lain di kategori CP150," kata Afif.
"Oleh itu, saya harus memperbaiki juga strategi saya supaya dapat berlumba dengan lebih kompetitif di kelompok hadapan.”
Begitupun, Azroy tidak berpeluang untuk mencabar kedudukan itu di Jempol selepas pelumba kelahiran Selangor itu tidak beraksi susulan penampilan secara 'wiladcard' di WorldSSP di Aragon, Sepanyol.
Kedudukan keseluruhan CP150 Cub Prix 2024
Akid Aziz (KUL) PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 150 mata
Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 107 mata
Azroy Hakeem Anuar (SGR) HONDA ESTREMO YUZY RACING, 95 mata
Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 88 mata
Shahrol Syazras Shahrol Yuzy (SGR) HONDA ESTREMO YUZY RACING, 67 mata
*lima terbaik
