CUB Prix 2024: Akid Juara CP150 Di Tangkak, CP125, Wira KBS Milik Honda!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/5/20242 min read

MD Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing terus membuktikan dia sukar dicabar apabila menjuarai perlumbaan kelas elit CP150 Pusingan 2 Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024 di Tangkak, Johor, hari ini.

Apa yang lebih menarik, ia adalah kemenangan kedua berturut-turut penyandang juara CP150 itu yang turut menakluk aksi pembukaan di Jasin, Melaka pada bulan lalu.

Memulakan perlumbaan di petak ketiga, Akid begitupun memperoleh permulaan agak goyah di awal saingan namun bangkit di penghujung perlumbaan dan menang dengan catatan masa 14 minit 36:350 saat (s).

Mengulas perlumbaan di Tangkak, Akid mengakui dia berdepan kesukaran dari sudut pelarasan yang menyaksikannya bergelut untuk mendapatkan keserasian terbaik dengan jenteranya kerana pelarasan yang digunakan adalah baharu.

"Sebenarnya untuk perlumbaan tadi kita juga menggunakan pelarasan baru, saya berdepan masalah brek dan klac, jadi berlumba tadi jentera saya bermasalah di bedua-dua belah kiri dan kanan, memang seperti pengembaraan perlumbaan kali ini bagi saya," kata Akid dari Kuala Lumpur.

Mengisi tempat kedua pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak adalah Kasma Danial Kasmayuddin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) yang memulakan perlumbaan di petak utama.

Melengkapkan kedudukan podium adalah rakan sepasukan Kasma, Nazirul Izzat Md Bahauddin.

Sementara itu, dua kategori CP125 dan Wira KBS berjaya ditakluk kem Honda dan lebih menarik menerusi pasukan yang sama - Honda KC Racing.

Dalam kelas CP125, kemenangan menjadi milik Md Irfan Haykal Amidi juga kemenangan keduanya untuk dua pusingan berturut-turut selepas turut menang di Jasin.

Tempat kedua menjadi milik Md Syamil Amsyar Md Iffende (Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing) dan melengkapkan kedudukan podium adalah rakan sepasukan Irfan, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas.

"Saya bermula agak lambat (pada perlumbaan), pada selekoh 7 baru saya dapat mengejar pelumba di hadapan dan pusingan demi pusingan saya cuba konsisten dengan kelajuan, tetapi pusingan kelapan saya mendapati bahawa tayar saya semakin panas," kata Irfan.

"Jadi pada pusingan terakhir saya hanya memberi tumpuan untuk memacu jentera dengan tenang sehingga tamat perlumbaan."

Dalam kategori Wira KBS, Md Akif Abdullah yang memulakan perlumbaan di Tangkak di petak ke-7 merakam kemenangan yang sekali gus mengecewakan Md Adib Arsyad Md Hisam (Yamaha Estremi 27 Racing) yang memulakan perlumbaan di petak utama untuk berpuas hati di tangga kedua.

Seorang lagi pelumba Honda KC Racing, Adi Putra Anahar menamatkan aksi di tangga ketiga.

"Terima kasih kepada pasukan yang banyak berkorban sejak dari Pusingan 1 untuk menyediakan jentera yang baik untuk saya," kata Akif yang turut mendedikasikan kemenangannya kepada pakciknya.

Kedudukan 5 Terbaik Perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024 Tangkak, Johor

CP150

  1. Md Akid Aziz - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (14'36:350s)

  2. Kasma Daniel Kasmayudin - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14'36:995s)

  3. Nazirul Izzat Md Bahauddin - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14'38:155s)

  4. Azroy Hakeem Anuar - HONDA ESTREMO YUZY RACING (14'39:376s)

  5. Shahrol Syazras Shahrol Yuzy - HONDA ESTREMO YUZY RACING (14'44:775s)

CP125

  1. Md Irfan Haykhal Amidi - HONDA KC RACING (11'34:032s)

  2. Md Syamil Amsyar Md Iffende - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (11'37:173s)

  3. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas - HONDA KC RACING (11'42:478s)

  4. Md Aliff Danial Md Asri - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (11'42:934s)

  5. Md Adam Haikal Jahar - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (11'43:739s)

Wira KBS

  1. Md Akif Abdullah - HONDA KC RACING (9'28:400s)

  2. Md Adib Arsyad Md Hisam - YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9'32:990s)

  3. Adi Putra Anahar - HONDA KC RACING (9'33:737s)

  4. Md Al Syakir Zufayri M Al Amirul Zaki - WINBOX KM+ AXLA (9'34:555s)

  5. Farres Putra Md Fadhil - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (9'38:456s)