CUB Prix 2024: Azroy Ulang Kejayaan Di Terengganu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/10/20242 min read

PELUMBA pasukan Honda Estremo Racing, Azroy Hakeem Anuar mengulangi kemenangan yang diraih di Terengganu tahun lalu apabila menjuarai perlumbaan CP150 Pusingan 6 Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024, hari ini.

Kemenangan sekali lagi menyaksikan pasukan yang boleh dikatakan dari Terengganu, Petronas Sprinta Yamaha CKJ - Racing berputih mata apabila kedua-dua pelumbanya terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dan ketiga.

Melepasi garisan penamat di Litar Permotoran Kuala Terengganu adalah Md Akid Aziz yang memulakan perlumbaan di petak utama dengan rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran yang beraksi di laman sendiri melengkapkan podium.

"Saya sentiasa memberikan 100 peratus apabila berada di atas jentera," kata Azroy yang mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukannya yang berusaha keras menyediakan jentera terbaik.

"Dalam perlumbaan tadi, Akid memang sangat laju, dan saya terpaksa mengikutnya dari belakang. Dalam fikiran saya, mungkin kali ini saya hanya mampu mencapai tempat kedua.

"Tetapi pada penghujung perlumbaan, Akid mula memperlahankan jentera, dan saya tidak pasti apa yang terjadi kepadanya. Dalam dua pusingan terakhir, dia melakukan kesilapan dan saya mengambil kesempatan untuk memintasnya."

Dalam kelas CP125, pelumba Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Izam Ikmal Izamli berjaya meraih kemenangan ketiga berturut-turut pada musim ini sekalipun berdepan cabaran sengit.

Pelumba OneXOX TKKR Racing, Md Afizi Supaat terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua diikuti Md Syamil Amsyar Md Iffende )Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing) lengkapkan kedudukan podium.

Pada pusingan ke-9, Md Afizi Supaat dari ONEXOX TKKR RACING TEAM memintas Syamil untuk berada di P2, dan rakan sepasukannya, Danial turut berjaya memintas Syamil di P3.

Pada pusingan ke-13, perebutan P1 semakin mendebarkan apabila Afizi terus mengekori rapat di belakang Izam menyaksikan dua pelumba itu meninggalkan kumpulan sekurang-kurangnya 3 saat di belakang.

Pada pusingan terakhir, Izam meningkatkan pecutannya sekaligus berjaya melepasi garisan penamat pada 12'53:462s untuk memenangi perlumbaan.

"Saya bermula agak lewat kerana saya agak gementar. Sepanjang perlumbaan, saya hanya mengikuti rentak pelumba lain tetapi saya percaya kelajuan saya lebih baik di sini," kata Izam.

"Jadi selekoh demi selekoh, saya berusaha memintas pelumba di depan saya. Pada pusingan kedua, saya berjaya menduduki tempat pertama dan mengekalkan rentak saya hingga ke akhir perlumbaan. Alhamdulillah, saya berjaya memenangi perlumbaan ini, dan ini adalah rezeki untuk anak saya.”

Sementara itu, kemenangan dalam kelas Wira KBS diraih pelumba pasukan Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam. Md Akif Abdullah (Honda KC Racing) dan Farres Putra Md Fadhil (Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing) melengkapkan podium.

"Saya tidak memulakan dengan baik dan agak ketinggalan pada awak perlumbaan," kata Adib.

"Tetapi saya berusaha untuk tenangkan diri dan memintas pelumba-pelumba di hadapan saya satu persatu. Alhamdulillah, dengan usaha dan sokongan pasukan, saya berjaya memenangi perlumbaan kali ini.”

Keputusan Pusingan 6 Cub Prix 2024 di Terengganu

CP150

  1. Azroy Hakeem Anuar - HONDA ESTREMO YUZY RACING (16'20:880s)

  2. Md Akid Aziz - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (16'22:324s)

  3. Ahmad Afif Amran - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (16'26:933s)

  4. Kasma Daniel Kasmayudin - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (16'32:073s)

  5. Shahrol Syazras Shahrol Yuzy - HONDA ESTREMO YUZY RACING (16'32:675s)

CP125

  1. Md Izam Ikmal Izamli - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (12'53:462s)

  2. Md Afizi Supaat - ONEXOX TKKR RACING TEAM (12'55:130s)

  3. Md Syamil Amsyar Md Iffende - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (12'59:452s)

  4. Md Firdaus Md Hamdan - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (12'59:544s)

  5. Md Adie Putra Sukarno - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (13'00:780s)

Wira KBS

  1. Md Adib Arsyad Md Hisam - YAMAHA ESTREMO 27 RACING (10'35:457s)

  2. Md Akif Abdullah - HONDA KC RACING (10'36:460s)

  3. Farres Putra Md Fadhil - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (10'36:565s)

  4. Md Fareeq Md Faizal - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (10'37:259s

  5. Adi Putra Anahar - HONDA KC RACING (10'38:636s)

*Kedudukan 5 terbaik