CUB Prix 2024: Duo PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing Mengganas Di Tangkak
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/1/20242 min read
PASUKAN PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing menampilkan dominasi di kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2024 pada musim ini selepas merangkul kemenangan 1-2 pada aksi CP150 Pusingan 7 di Tangkak, Johor, hari ini.
Meraih kemenangan adalah pendahulu kejuaraan, Md Akid Aziz dengan rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Shahrol Syazras Shahrol Yuzy (Honda Estremno Yuzy Racing) ketiga.
Mengulas kemenangan kelimanya musim ini, Akid berkata dia pada mulanya tidak percaya kemenangan mampu dicapai di Tangkak berikutan isu jentera yang dialaminya sejak Sabtu.
"Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan meraih tempat pertama kerana pada permulaan perlumbaan saya menghadapi cabaran besar untuk memimpin saingan," kata Akid.
"Di pertengahan dan penghujung pusingan, jentera saya mengalami masalah dan terdapat risiko terjatuh namun saya bersyukur kerana akhirnya dapat memenangi perlumbaan hari ini."
Dalam kelas CP125, kemenangan berjaya diraih pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende yang mengakui saingan pada pusingan kali ini amat sengit.
"Saya cuba untuk menjauhkan diri daripada pelumba lain, tetapi ia sangat mencabar," kata Syamil. "Pada lap terakhir, saya cuba meningkatkan kelajuan dan nasib baik, dalam selekoh kedua dan terakhir, saya berjaya menutup ruang supaya pelumba lain tidak dapat memintas saya dan berjaya memenangi perlumbaan hari ini."
Tempat kedua menjadi milik Md Aliff Danial Md Asri dari PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dan melengkapkan podium adalah Md Farish Iqmal Khayrul Elyas (Honda KC Racing).
Sementara itu, kelas Wira KBS menyaksikan kemenangan diraih pelumba Honda KC Racing Md Akif Abdullah.
"Dalam perlumbaan, saya memutuskan untuk mengikuti 'racing line' yang lebih selamat. Walaupun jentera saya mula menghadapi sedikit masalah, saya berusaha untuk mengekalkan posisi saya. Alhamdulillah, usaha saya membuahkan hasil dan saya berjaya meraih tempat pertama."
Menamatkan perlumbaan di belakang Akif adalah Farres Putra Md Fadhil (PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing) dengan Md Akid Md Shah Khearul Nisiam (Yamaha Estremo 27 Racing) ketiga.
Berikut keputusan Pusingan 7 Cub Prix Malaysia 2024 di Tangkak, Johor (*5 terbaik)
CP150
Md Akid Aziz - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (14'33:374s)
Ahmad Afif Amran - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (14'37:813s)
Shahrol Syazras Shahrol Yuzy - HONDA ESTREMO YUZY RACING (14'38:478s)
Kasma Daniel Kasmayudin - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14'43:085s)
Md Helmi Azman - SCK HONDA RACING TEAM (14'45:990s)
CP125
Md Syamil Amsyar Md Iffende - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (11'37:618s)
Md Aliff Danial Md Asri - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (11'37:995s)
Md Farish Iqmal Khayrul Elyas - HONDA KC RACING (11'38:039s)
Md Irfan Haykhal Amidi - HONDA KC RACING (11'38:335s)
Md Izam Ikmal Izamli - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (11'38:447s)
Wira KBS
Md Akif Abdullah - HONDA KC RACING (9'23:423s)
Farres Putra Md Fadhil - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (9'27:698s)
Md Akid Md Shah Khearul Nisiam - YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9'27:851s)
Adi Putra Anahar - HONDA KC RACING (9'27:872s)
Md Iman Fahmi Senin - WINBOX KM+ AXLA (9'32:947s)