CUB Prix 2024: Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing Menang 1,2 Di Teluk Intan, Akid Paling Cemerlang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/30/20242 min read


PASUKAN Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing meneruskan rentak cemerlang apabila merangkul kemenangan 1,2 kelas CP150 Pusingan 4 Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix 2024 di Teluk Intan, Perak, hari ini diketuai juara keseluruhan musim lalu, Md Akid Aziz.
Seorang lagi pelumba pasukan itu, Ahmad Afif Amran, pelumba yang menguasai sesi 'Superpole' dan memulakan perlumbaan di petak utama menamatkan saingan sebagai naib juara.
Melengkapkan kedudukan podium di Teluk Intan adalah Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.
Mengulas kemenangannya, Akid mengakui ia bukan mudah untuk dicapai kerana dia terpaksa bergelut dengan pelarasan jentera sejak hari pertama di Teluk Intan sebelum situasi bertambahan baik sekalipun bukan sepenuhnya.
"Perlumbaan tadi saya agak tertekan tapi saya cuba ubah cara tunggangan saya kerana jentera saya agak susah untuk dikawal, saya perlu melakukan sesuatu untuk kekal di hadapan.
"Saya tahu Afif lebih bagus daripada saya, mungkin berat badan saya lebih ringan jadi ada kelebihan untuk saya kali ini," katanya.
Dalam kelas CP125, Md Adam Haikal Jahar dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing menjuarai perlumbaan diikuti pelumba pasukan OneXOX TKKR Racing, Md Afizi Supaat kedua.
Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Adie Putra Sukarno di tempat ketiga.
"Tak sangka yang saya akan dapat podium," kata Adam. "Sebenarnya agak sukar untuk saya menaiki podium minggu ini jadi saya hanya mensasarkan untuk kekalkan kelajuan dan cuba untuk pertahankan kedudukan saya. Saya berlumba dengan sehabis baik dan akhirnya berjaya menang."
Sementara itu, kelas Wira KBS berjaya dimenangi Md Aiman Md Hafis daripada pasukan Brothers 7 Tech Racing dengan dua pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing, Farres Putra Md Fadhil dan Raiyan Khardanee Md Sanusi meraih tempat kedua dan ketiga.
Aiman berkata dia amat gembira dengan kejayaan di Teluk Intan dengan kemenangan dihadiahkan kepada pasukan.
"Pada awal perlumbaan di pusingan pertama, saya ada melakukan sedikit kesilapan, saya cuba yang terbaik untuk mengejar ke posisi hadapan, tetapi tidak sangka saya dapat memenangi perlumbaan ini," katanya.
Keputusan perlumbaan Pusingan 4 Cub Prix 2024 Teluk Intan (5 Terbaik)
CP150
1. Md Akid Aziz - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (15’52:420s)
2. Ahmad Afif Amran - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING (15’52:535s)
3. Kasma Daniel Kasmayudin - PETRONAS SPRINTA YAMAHA: MAJU MOTOR (15’53:418s)
4. Azroy Hakeem Anuar - HONDA ESTREMO YUZY RACING (15’58:625s)
5. Md Faiz Zekri Sabri - YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS (16’14:310s)
CP125
1. Md Adam Haikal Jahar - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (12'45:813s)
2. Md Afizi Supaat - ONEXOX TKKR RACING TEAM (12'46:185s)
3. Md Adie Putra Sukarno - PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (12'46:533s)
4. Md Shafiq Ezzariq - JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (12'47:712s)
5. Danial Johan - ONEXOX TKKR RACING TEAM (12'48:283s)
Wira KBS
1. Md Aiman Md Hafis - BROTHERS 7 TECH RACING (6'59:048s)
2. Farres Putra Md Fadhil - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (6'59:531s)
3. Raiyan Khardanee Md Sanusi - PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING (6'59:933)
4. Adi Putra Anahar - HONDA KC RACING (7'01:709s)
5. Md Adib Arsyad Md Hisam - YAMAHA ESTREMO 27 RACING (7'04:567s)
