CUB Prix 2025: Afif Julang Gelaran Keseluruhan CP150

Ini adalah gelaran keseluruhan ke-4 CP150 Cub Prix yang dimenangi oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing yang dinoktahkan pada Pusingan 8 yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/28/20251 min read

PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Ahmad Afif Amran melakar sejarah peribadi apabila mengesahkan gelaran ke-4 kelas elit CP150 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix yang dinoktahkan di Pusingan 8 yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan.

Meskipun tidak berjaya meraih kemenangan atau menaiki podium, apa yang dikumpul oleh Afif sudah tidak mampu dicabar mana-mana pelumba berbaki dua lagi pusingan musim ini.

Garang memimpin perlumbaan, Afif begitupun berdepan malang apabila berdepan kemalangan pada dua pusingan terakhir.

Situasi itu membenarkan pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin untuk bergelar juara di Jempol dengan Afif terpaksa berpuas hati di tempat ke-4.

Afif berkata peraturan yang digunakan kejuaraan itu di mana berat motosikal dan pelumba diseragamkan memberinya kelebihan kerana dia adalah antara pelumba yang paling berat dalam kategori CP150.

"Saya mengambil peluang ini untuk memberikan usaha lebih lagi musim ini. Alhamdulillah, walaupun persaingan sangat sengit daripada Kasma mahupun pelumba-pelumba lain, saya berjaya mengekalkan momentum sehingga mencapai matlamat saya iaitu gelaran juara keseluruhan.

"Semasa terjatuh tadi, saya hanya fokus untuk cepat-cepat meneruskan perlumbaan dan mengumpul sebanyak mungkin mata walaupun sudah jatuh.

"Minggu ini memang sangat mencabar bagi saya, tetapi saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan. Kini saya berasa lebih tenang untuk menghadapi baki dua pusingan yang akan datang. Saya hanya perlu mengekalkan momentum sehingga akhir musim tanpa sebarang tekanan."

Dalam kelas CP125, kemenangan menjadi milik Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing sekali gis menamatkan penantian panjangnya untuk meraih kemenangan.

Arash Tsunami Kamarudin yang berlumba bersama pasukan ATAS AHM Motorsports kedua manakala Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS Honda KC Racing Team ketiga.

Sementara itu, perlumbaan kelas Wira KBS menjadi milik Farres Putra Md Fadhill dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing.

Mengikutinya di podium adalah Md Akif Abdullah dari pasukan ZYNERGYS Honda KC Racing dan Nuzzul Ady Mad Sudin memastikan podium milik pasukan Yamaha Estremo 27 Racing.