CUB Prix 2025: Kasma Takluk Aksi 'Basah' Di Tangkak
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/18/20252 min read


PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin meraih kemenangan di laman sendiri apabila menjuarai perlumbaan kelas elit CP150 Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor.
Selepas mengungguli sesi Superpole yang berlangsung di sebelah pagi, pelumba kelahiran Johor itu membuktikan kemampuannya berlumba dalam keadaan litar basah selepas hujan lebat turun ketika perlumbaan berlangsung.
Menamatkan perlumbaan sebagai naib juara adalah seorang lagi pelumba Yamaha, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing dengan pelumba pasukan MAEZTRO SCK Honda Racing, Md Helmi Azman, melengkapkan kedudukan podium.
“Impian saya kali ini tercapai. Dari hari pertama lagi, kami berada di kedudukan teratas. Saya memang sangat ingin menang di tempat sendiri selepas sekian lama tidak meraih sebarang kemenangan di halaman sendiri," kata Kasma.
"Alhamdulillah, dengan bantuan pasukan yang percaya dan terus menyokong saya serta menyediakan jentera yang cukup baik, hari ini saya berjaya menang di tempat sendiri. Saya akan terus berusaha sehingga penghujung musim ini.”
Sementara itu, perlumbaan kelas CP125 yang turut berlangsung dalam keadaan hujan menjadi milik Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing yang turut mendominasi kesemua kedudukan podium di Tangkak.
"Visor helmet saya pun agak kabur ketika perlumbaan tadi. Saya cuba untuk mendahului tetapi masih teragak-agak. Saya lihat Izam (Ikmal Izamli) juga cuba memintas saya ikut kelajuannya yang memang laju. Saya ambil keputusan untuk mencuba di selekoh terakhir dan alhamdulillah, strategi saya menjadi.”
Dalam pada itu, Md Akif Abdullah dari pasukan Zynergys Honda KC Racing mengungguli perlumbaan Wira KBS yang turut berlangsung dalam keadaan litar basah.
"Saya tidak jangka akan hujan. Ada selekoh basah, ada yang kering. Saya juga tak sangka Farres (Putra) akan berada di depan kerana dia bermula dari petak ke-10.
"Apabila dia sampai, saya tahu saya perlu bekerja lebih keras. Saya ambil keputusan untuk jimat penggunaan tayar dan mengekori Farres sehingga pusingan terakhir sebelum saya bertindak memintas untuk menang.”
Berikut adalah keputusan 3 terbaik Pusingan 2 Cub Prix di Tangkak
CP150
Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Yamaha Y15ZR
Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Yamaha Y15ZR
Md Helmi Azman (SGR) MAEZTRO SCK Honda Racing, Honda RS-X
CP125
Md Syamil Amsyar Md Iffende (PNG) PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Yamaha Lagenda 115Z
Md Izam Ikmal Izamli (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Yamaha Lagenda 115Z
Emil Idzhar Ezuan (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Yamaha Lagenda 115Z
Wira-KBS
Md Akif Abdullah (PNG) Honda KC Racing, Honda DASH 125
Nuzzul Ady Mad Sudin (PHG) Yamaha Estremo 27 Racing, Yamaha Lagenda 115Z
Md Al Syafiq Md Al Amirul Zaki (SGR) Yamaha Estremo 27 Racing, Yamaha Lagenda 115Z
