CUB Prix 2025: Masalah Berat Badan Masih Hantui Afif

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/15/20251 min read

PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mengakui masalah berat badan masih membelenggunya dan ia berpotensi memberi kesan pada Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2025 di Tangkak, Johor, hujung minggu ini.

Pada pusingan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, pelumba yang beraksi dalam kelas elit CP150 kelahiran Terengganu itu memulakan kempen dengan nada positif apabila muncul sebagai juara dalam aksi penuh sengit.

Sekalipun terkenal sebagai pelumba yang memiliki kemahiran hebat, Afif berkata, beraksi di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak tidak memberikan kelebihan kepadanya.

"Cabaran saya di Litar Tangkak mungkin adalah berat badan saya yang memberikan kesan kepada kelajuan motosikal terutamanya di laluan lurus," kata Afif yang pernah dua kali menjulang gelaran keseluruhan CP150 sebelum ini.

"Semua pasukan dan pelumba ada data di litar ini jadi sememangnya mereka agak laju. Tetapi saya akan berikan saingan terbaik seperti biasa bukan sahaja di litar Tangkak tetapi di setiap perlumbaan."

Dalam pada itu, Afif berkata adalah terlalu awal untuk memikirkan mengenai kejuaraan dan apa yang utama adalah berada dalam posisi terbaik pada setiap perlumbaan dan mengutip sebanyak mata yang boleh.

"Semua pelumba sudah pasti ingin menang dan ramai di antara mereka yang banyak pengalaman. Saya cuma akan fokus pada pelarasan saya di setiap perlumbaan," kata Afif.

"Litar yang teknikal seperti Tangkak memerlukan tenaga dan kekuatan fizikal terutamanya untuk bersaing dengan pelumba-pelumba seperti Kasma (Daniel Kasmayuddin), Azroy (Hakeem Anuar), (Syahrol) Syazras dan lain-lain."

Pada musim lalu, Afif menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6 yang menyaksikan kemenangan menjadi milik rakan sepasukannya, Md Akid Aziz.