CUB Prix 2026: Haziq Fairues, Honda YAM Racing Takluk Pusingan 2

Perlumbaan Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) menyajikan aksi sengit dan penuh drama bukan saja dalam kategori CP150, malah dua lagi kategori CP125 dan WIRA apabila perebutan kemenangan berlanjutan hingga ke garisan penamat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/24/20261 min read

PELUMBA pasukan IDEMITSU Honda YAM Racing, Md Haziq Md Fairues menamatkan penantian untuk bergelar pemenang selepas menjuarai perlumbaan kelas utama CP150 pada Pusingan 2 PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2026 di Sepang, hari ini.

Perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) menyajikan aksi sengit dan penuh drama bukan saja dalam kategori CP150, malah dua lagi kategori CP125 dan WIRA apabila perebutan kemenangan berlanjutan hingga ke garisan penamat.

Berlangsung dengan persaingan yang amat kompetitif dengan kedudukan pendahulu bertukar hampir setiap pusingan, insiden di selekoh terakhir membuka peluang kepada Haziq untuk meraih kemenangan.

Lebih menarik, kemenangan yang diraih cukup tipis, hanya dibezakan 0.006 saat (s) di depan pencabar terdekatnya, Md Iqbal Amri Abdul Malek (AHM MOTOR SPORTS KM+ RACING LUBE).

Tempat ketiga menjadi milik pelumba TAB Sports SCK Honda Racing, MD Helmi Azman dengan catatan masa 15'23.165s.

Sementara itu, kategori CP125 pula menjadi milik pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil AMsyar Md Iffendi dengan catatan 11'23.462s.

Rakan sepasukannya, Md Farid Hakimi Farid Sezli kedua dan Arash Tsunami Kamarudin (AHM IPONE Racing Team) melengkapkan podium.

Dalam kategori WIRA, Md Afiq Syazanie Muhd Zaini (MBI SELANGOR MOTTOROY XLA) muncul pemenang selepas mengharungi perlumbaan yang tidak kurang dramatiknya dengan pertukaran pendahulu beberapa kali sepanjang perlumbaan.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, ke-2 dan melengkapkan podium rakan sepasukan Afiq, Md Ali Imran Md Dzul Hijri.