CUB Prix 2026: Honda Takluk Batu Kawan
Kemenangan yang diraih pelumba pasukan Honda SCK, Md Irfan Haykhal Amidi di Pulau Pinang adalah kemenangan ke-3 Honda daripada 4 perlumbaan pada musim ini mengikuti kejayaan Azroy Hakeem Anuar dan Md Haziq Md Fairues pada Pusingan 1 dan 2
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/16/20261 min read


SELEPAS tersentak di Jempol, Negeri Sembilan, Honda kembali meraih kemenangan dalam kategori elit CP150 pada Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2026 di litar Batu Kawan, Pulau Pinang menerusi kejayaan pelumba Honda SCK, Md Irfan Haykhal Amidi.
Lebih menarik, ia adalah kemenangan sulung buat Irfan selepas melakukan kebangkitan susulan kesilapan yang dilakukan di awal perlumbaan sebelum memintas pelumba yang memulakan saingan di petak utama, Azroy Hakeem Anuar (Honda Castrol Power 1 Yuzy Racing) di penghujung perlumbaan.
Azroy dalam pada itu terpaksa berpuas hati di tempat ke-2 manakala pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin melengkapkan kedudukan podium.
Perlumbaan 20 pusingan itu berlangsung sengit dengan separuh pertama perlumbaan didominasi oleh pertarungan sengit antara Azroy dan Kasma yang saling berbalas catatan masa terpantas tetapi enjelang pusingan ke-10, Irfan akhirnya berjaya merapatkan jurang dan menyertai kelompok pendahulu.
Pada pusingan ke-15, Irfan berjaya memintas Kasma dan momentum itu diteruskan apabila dia berjaya memintas Azroy pada pusingan ke-18 dan kekal kekal tenang untuk melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa 17’52.569s.
"Alhamdulillah atas rezeki kemenangan pada pusingan ini. Terus-terang saya katakan, penantian untuk meraih kejayaan seperti ini memakan masa yang agak lama. Kejayaan hari ini saya dedikasikan khas sebagai hadiah buat keluarga tercinta serta seluruh pasukan yang sentiasa mempercayai bakat saya," kata Irfan.
"Tidak dilupakan, penghargaan tertinggi buat para mekanik yang bertungkus-lumus menyediakan pelarasan jentera yang cukup sempurna untuk perlumbaan."
Dalam pada itu, perlumbaan kelas CP125 berjaya dimenangi Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing.
Lebih menarik, seorang lagi pelumba pasukan itu Md Syamil Amsyar M Iffende turut berjaya meraih tempat ke-2 dengan Md Khairi Asyraf Mahmood (IPONE Yamaha YY Pang Racing) melengkapkan podium.
Sementara itu, pertarungan sengit yang disusuli dengan insiden kemalangan dramatik pada pusingan terakhir menobatkan Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing sebagau juara kategori WIRA.
Menariknya, rakan sepasukan Nuzzul iaitu Raja Abdurraqib Raja Norfatihah turut mengesahkan penguasaan 1-2 buat pasukan itu dengan Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki (Igol Brothers 7 Tech) ke-3.

