CUB Prix: Afif Kembali Rasai Nikmat Kemenangan, Petronas Yamaha Sprinta CKJ Racing 'Tapau' 1,2 Di Teluk Intan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20232 min read

TAK berjaya melakukannya dalam lima pusingan sebelum ini, penyandang juara keseluruhan kelas perdana CP150 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix musim lalu, Ahmad Afif Amran kembali merasai nikmat kemenangan, semalam di Teluk Intan, Perak.

Dalam perlumbaan pusingan 6 itu, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang memulakan perlumbaan di petak utama melepasi garisan penamat sebagai juara dengan cukup dominan.

Lebih mengujakan, rakan sepasukannya, Md Akid Aziz turut menamatkan perlumbaan sebagai naib juara. Mengikuti 'duo' Yamaha itu di pentas podium ialah pelumba Honda, Azroy Hakeem Anuar (Honda Yuzy Estremo).

Mengulas kemenangannya, Afif berkata dia memang menjangkakan cabaran hebat daripada Akid dan Azroy untuk meraih kejayaan itu selain menjelaskan berat badannya yang meningkat turut meningkatkan darjah kesukarannya.

"Litar ini mempunyai banyak laluan lurus, panjang dan saya tahu mereka mempunyai kelebihan di situ. Saya cuba kekalkan kedudukan saya dan hanya buka langkah di selekoh.

"Rezeki saya kerana dapat tempat pertama," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Dalam kelas CP125, kemenangan 1,2 turut dilakar pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor menerusi gandingan Md Adie Putra Sukarno dan Md Syafiq Rosli.

Mendapat saingan sengit terutama dari rakan sepasukannya, Adie mengulas kemenangannya berkata: “Saya berlumba di petak ke-16. Tetapi saya cuba untuk menyelit ke hadapan dari awal perlumbaan.

"Mujur saya dapat memasuki kelompok di hadapan. Sepanjang perlumbaan, persaingan sengit di antara kedua-dua pelumba di hadapan saya. Namun begitu, di lap terakhir, saya nampak peluang untuk memintas dan terus menggunakannya untuk meraih kemenangan.”

Di tempat ketiga adalah Shafiq Ezzariq dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team.

Sementara itu, pasukan Bad Lab Honda KC Racing turut memberikan keceriaan kepada kem Honda apabila turut meraih kemenangan 1,2 dalam kelas Wira KBS dengan Md Farish Iqmal muncul sebagai juara.

dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing memberikan persembahan terbaik sebelum meraih kemenangan bagi kategori Wira KBS.

Tempat kedua menjadi milik Md Adib Hareez dan pelumba pasukan Yamaha Estremo 27 Racing Team, Ahmad Iqram Danish melengkapkan kedudukan podium di Teluk Intan.

“Terima kasih kepada pasukan saya yang telah membuat persediaan yang baik untuk perlumbaan ini pada hujung minggu ini," kata Farish. "Pada permulaan, saya ada buat silap sedikit di selekoh pertama. Tetapi, saya cuba mengatasi kesilapan tersebut.

"Rakan sepasukan saya memang hebat dan walaupun saya memberikan tekanan, pada permulaannya memang sukar untuk memintas. Nasib saya baik sebab saya sempat memintasnya di lap-lap terakhir dan berjaya tamatkan perlumbaan di tempat pertama.”

Kedudukan podium Pusingan 6 Cub Prix 2023 di Teluk Intan

CP150

1. Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 15 minit 45.009 saat

2. Md Akid Aziz, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 15:49.276

3. Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY ESTREMO TEAM, 15:50.184

CP125

1. Md Adie Putra Sukarno, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 12:55.144

2. Md Syafiq Rosli YAMAHA PRK PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 12:55.430

3. Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 12:55.480

Wira KBS

1. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, BAD LAB HONDA KC RACING, 10:20.167

2. Adib Hareez Hazwat, BAD LAB HONDA KC RACING,10:20.400

3. Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 10:25.756