CUB Prix: Akid Masih Dahagakan Kemenangan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/23/20241 min read

PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz jelas belum mahu mengendurkan cabarannya sekalipun gelaran juara keseluruhan kelas CP150 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2024 sudah disahkan lebih awal.

Pada aksi pusingan penutup tirai Cub Prix di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini, pelumba kelahiran Kuala Lumpur tampil cemerlang mengungguli sesi kelayakan kategori elit itu.

Akid menjelaskan, sekalipun kejuaraan sudah pun sah menjadi miliknya, pasukan bertekad untuk menampilkan persembahan terbaik.

"Saya akan mempamerkan aksi terbaik semampu yang mungkin kerana itu memang tanggungjawab saya sebagai pelumba. Jadi saya tidak akan sesekali memberikan haluan mudah," kata Akid.

Sementara itu, pelumba yang sedang memburu kedudukan ketiga keseluruhan, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing melakukan catatan masa kedua terpantas diikuti rakan sepasukan Akid, Ahmad Afif Amran.

Seorang lagi pelumba yang buru kedudukan ketiga keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yahama Maju Motor) catat masa keempat terpantas.

Dalam kelas CP125, Arash Tsunami Kamarudin (Yamaha Tekhne AHM Motor) mencatatkan masa terpantas.

"Saya memberikan sehabis baik untuk melayakkan diri ke sesi 'Shootout' pada hari esok dan terima kasih pada pasukan kerana menyediakan jentera yang sangat cemerlang pada hari ini," kata Arash.

Sementara itu dalam kategori Wira KBS, catatan terpantas dilakukan oleh pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Farres Putra Md Fadhil.

"Saya sangat bersyukur apabila pasukan dapat menyiapkan jentera saya dengan sangat baik," kata Farres.

"Kita tahu pusingan terakhir ini kami mempunyai misi untuk merebut juara keseluruhan. Jadi mendapatkan masa terpantas adalah satu rezeki, terima kasih sangat kepada pasukan yang bekerja keras. Saya berharap esok dapat pamer aksi lebih baik daripada hari ini."