CUB Prix: Azroy Tawan Batu Kawan, Tempat Ke-3 Keseluruhan CP150 Milik Kasma

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/23/20242 min read

PELUMBA Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar menjuarai kemenangan keduanya dalam kelas CP150 Kejuaraan PETRONAS Malaysia Cub Prix musim ini selepas menakluk perlumbaan penutup tirai di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Kemenangan itu begitupun tidak memberikan Azroy kedudukan ketiga keseluruhan kelas elit itu yang dimenangi pesaing terdekatnya, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Kasma yang hanya memiliki kelebihan lapan mata di depan Azroy sebelum aksi di Pulau Pinang menamatkan saingan dengan mengumpul 124 mata dengan Azroy 121 mata.

Sebagai info, gelaran keseluruhan dan naib juara CP150 sudah pun diketahui lebih awal pada pusingan sembilan di Bandar Medini, Johor yang dimenangi Md Akid Aziz juga dari PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing.

Di Batu Kawan, perlumbaan turut terpaksa dimulakan semula itu akibat tumpahan minyak di litar pada pusingan ke-15 namun ia tidak menghalang Azroy daripada memimpin kedua-dua perlumbaan dengan Akid mengalami kemalangan.

Sekalipun meraih dua kemenangan dan dua tempat kedua dalam 10 pusingan musim ini, satu kegagalan menamatkan perlumbaan termasuk tidak beraksi di pusingan kelapan kerana memperoleh tiket wildcard di WorldSSP menyaksikan pelumba kelahiran Selangor itu dilapit kekecewaan.

"Gembira dengan kemenangan ini tetapi ada perkara yang kurang menggembirakan kerana saya tidak dapat mengesahkan tempat ketiga keseluruhan kerana ada pusingan yang saya mengalami kemalangan dan ada pusingan yang saya terlepas," kata Azroy.

"Saya dan pasukan akan belajar daripada kesilapan dan cuba untuk menjadi konsisten pada tahun hadapan untuk merebut kembali gelaran juara."

Dalam kelas CP125, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing mengesahkan gelaran juara keseluruhan musim ini dengan menjuarai perlumbaan di Batu Kawan.

Kemenangan itu menyaksikan pencabar utama, Md Izam Ikmal Izamli (PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing) terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Tempat kedua perlumbaan pula dimenangi Md Irfan Haykhal Amidi daripada Honda KC Racing Honda yang turut menyaksikannya menamatkan kempen musim ini di kedudukan ketiga keseluruhan.

Sementara itu, gelaran keseluruhan kelas Wira KBS menjadi milik Farres Putra Md Fadhil dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan pusingan terakhir di kedudukan keempat.

Kemenangan di Batu Kawan menjadi milik pelumba pasukan Honda Wave KC Racing Md Akif Abdullah namun mata maksimum yang diperolehnya sekadar meletakkannya sebagai naib juara keseluruhan kelas berkenaan.

Pelumba pasukan Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam meraih tempat kedua dan rakan sepasukannya, Md Akid Md Shah Khearul Nisiam melengkapkan kedudukan podium.