CUB Prix: Tempat Ketiga Jadi Buruan Kasma, Azroy Di Batu Kawan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/22/20241 min read

SIAPA yang akan meraih tempat ketiga kelas elit CP150 kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix sejurus kempen musim ini menutup tirainya?

Itu persoalan yang menjadi daya penarik dan akan memeriahkan aksi pusingan terakhir kejuaraan berkenaan yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang minggu ini.

Seperti diketahui, dua gelaran utama - juara keseluruhan dan naib juara sudah pun disahkan lebih awal di Johor menerusi dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Akid Aziz dan Afif Amran.

Berdasarkan kedudukan ketika ini, hanya dua pelumba iaitu Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing berpeluang cerah meraih kedudukan itu.

Dan selain pertarungan membabitkan pelumba dan pasukan, pemburuan gelaran terakhir ini turut membabitkan persaingan antara dua pengeluar Yamaha dan Honda.

Ketika ini, Kasma mempunyai kelebihan dan memiliki kelebihan 8 mata berbanding Azroy.

Jadi, jom kita dengar apa kata mereka menuju aksi di Batu Kawan.

Kasma

"Agak sukar untuk saya mempertahankan kedudukan di tempat ketiga tetapi saya akan cuba sehabis baik. Persaingan di pusingan terakhir pasti sengit lebih-lebih lagi dengan pesaing terdekat saya yang tidak jauh dari segi jumlah mata.

"Jika rezeki menyebelahi saya, itulah kelebihannya, jika tidak, tidak boleh buat apa-apa pun. Prestasi saya bergantung kepada keadaan jentera saya. Jika tiada sebarang masalah, sudah pasti saya akan memberikan saingan yang baik.

"Harapan saya adalah untuk berada di podium dan jika boleh, untuk berikan satu kemenangan kepada pasukan saya. Untuk musim baharu nanti, saya ingin kembali bersaing untuk gelaran juara buat kali ketiga."

Azroy

"Saya masih mampu memburu tempat ketiga keseluruhan kerana jurang perbezaan mata hanya sedikit. Saya yakin walaupun tahu persaingan pasti sengit dan saya akan buat yang terbaik.

"Kelebihan dan kekurangan pasti ada terutamanya dari segi jentera antara pelumba-pelumba di hadapan dan di belakang. Cara pengendalian jentera juga memainkan peranan yang penting untuk memaksimumkan kekuatan jentera.

"Cabaran di litar Batu Kawan adalah di selekoh 'chicane' yang memerlukan penyelarasan suspensi yang bagus. Matlamat saya adalah untuk berada di podium pada pusingan terakhir. Saya akan bersaing di hadapan supaya lebih yakin untuk musim yang akan datang nanti.”