CYCLONE Malaysia Lancar Cyclone RT2S, RM 13,888!
Menurut Cyclone Malaysia, Cyclone RT2S (2026) disasarkan kepada golongan urban yang mahukan sebuah skuter yang mudah dikendalikan terutama di kawasan bandar dan pada masa sama mempunyai kemampuan untuk meredah perjalanan jauh
PELANCARAN
6/5/20261 min read


CYCLONE Malaysia, sebagai menjawab kepada permintaan pasaran terhadap kenderaan mobiliti bandar yang berkuasa namun praktikal melancarkan skuter terbaharunya yang mempunyai ciri berkenaan - Cyclone RT2S (2026) bersama harga menarik, RM 13,888 (asas).
Apa yang menarik, skuter berkenaan dilancarkan sempena acara MForce MotoXperience 2026 di Malaysia Bike Show (MBS) 2026 yang baru saja melabuhkan tirai beberapa hari lalu.
Seperti dinyatakan lebih awal, Cyclone RT2S (2026) disasarkan kepada golongan urban yang mahukan sebuah skuter yang mudah dikendalikan terutama di kawasan bandar dan pada masa sama mempunyai kemampuan untuk meredah perjalanan jauh.
Tampil dengan pakej yang lebih ringkas dan fizikal yang lebih kompak, Cyclone RT2S memiliki kelebihan dari sudut beratnya yang hanya sekitar 179 kilogram (kg), menjadikannya sangat lincah untuk menyelit di tengah-tengah kesesakan trafik bandar raya.
Walaupun lebih ringan, prestasi Cyclone RT2S tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkongsi trenkuasa yang sama dengan 'abangnya', Cyclone RT5 yang dilancarkan serentak iaitu enjin bersesaran 247 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, DOHC yang dipadankan dengan kotak gear CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah 26.1 Hp pada 8,500 rpm dengan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm.
Dari sudut pengendalian dan keselesaan, Cyclone RT2S dipadankan dengan fork teleskopik (depan) dan serta penyerap hentak berkembar (belakang).
Untuk keselataman dan memberi keyakinan menunggang terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu, Cyclone RT2S turut dilengkapi kelengkapan keselamatan standard merangkumi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Info lain
Set roda: 110/80-14 (depan), 140/60-13 (belakang)
Tinggi pelana 750 mm
Panel meter TFT
Tangki bahan api 12.6 liter
Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT2S ditawarkan pada 2 pilihan warna - Prestige Black dan Strong Grey dengan harga yang ditawarkan, RM 13,888 tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.





