CYCLONE RX650 (2025), Padat 'Jajan' Menarik, Harga Jangka 'Marhaen'!
TERKINI
3/22/20252 min read


SEPERTI diumumkan ketika di China, Cyclone Malaysia bakal membawa masuk satu penawaran terbaharunya dalam segmen 'Sport touring' ke pasaran tempatan menerusi Cyclone RX650 (2025).
Dan seperti dijangka, ia menjadi antara model yang paling mendapat perhatian ketika itu daripada tiga lagi model yang turut diumumkan, Cyclone RE600, Cyclone RA600 dan skuter Cyclone RT3e.
Apa tidaknya, ketika ketiga-tiga lagi model sudah pun diberikan tanda harga, pihak MForce Bike merahsiakan angka harga untuk Cyclone RX650 (2025) dan hanya akan diumumkan ketika ia tiba di Malaysia.
Begitupun hasil daripada 'risikan', harga jualan Cyclone RX650 tidak akan melebihi RM 30,000 apabila ia membuat penampilannya di pasaran dijadual pada pertengahan tahun ini.
Selain diposisi dalam segmen yang boleh dianggap popular, apa yang pasti adalah Cyclone semenangnya tidak 'kedekut' apabila berbicara mengenai spesifikasi Cyclone RX650 (2025).
Malah, ia turut memiliki beberapa teknologi yang kebiasaannya dipadankan dengan motosikal aras tinggi.
Antaranya adalah seperti sistem 'Cruise control' atau Kawalan Jelajah, 'Cornering ABS', sistem 'Quickshifter', sistem Radar pengesan titik buta, sistem kamera perakam tunggangan depan dan belakang.
Tidak cukup dengan itu, visor angin yang dipadankan turut memiliki ciri pelarasan elektrik.
Daripada sudut rekaan, Cyclone RX650 (2025) boleh dikatakan memiliki penampilan yang agak unik ala jenama ikonik dari Itali tetapi dijangka tidak mempunyai masalah untuk memikat pengguna tempatan.
Di bahagian trenkuasa, Cyclone RX650 (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 650 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 70 Hp @ 8,500 rpm dan tork 62 Nm @ 7,000 rpm.
Menurut Cyclone Motorcycle, kelajuan tertinggi yang boleh dicapai oleh Cyclone RX650 (2025) adalah 180 km/j.
Turut menarik adalah seperti sistem lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna dengan sambungan ke telefon pintas dan sistem penghidup Tanpa Kunci (Keyless).
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal di belakang dengan ciri pelarasan preload.
Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar (depan) dan cakera tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Sebelum terlupa, Cyclone RX650 (2025) turut memiliki sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Informasi penting lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api sebesar 20 liter, ketinggian pelana 820 mm, berat 240 kilogram dan set roda bersaiz 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang).








