CYCLONE Umum 4 Model Untuk Pasaran Malaysia, Harga Mula RM12.8k!

PELANCARAN

3/5/20251 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar motosikal terkemuka negara, MForce Bike Holdings Sdn Bhd, hari ini mengumumkan kehadiran empat model terbaharu menerusi jenama Cyclone ke pasaran tempatan.

Empat model berkenaan - yang diposisikan dalam segmen berbeza itu adalah Cyclone RX650 (2025), Cyclone RA600 (2025), Cylone RE600 (2025) dan Cyclone RT3e (2025).

Apa yang menarik, keempat-empat model berkenaan dipertontonkan dalam satu majlis yang berlangsung di Chongqing, China yang juga menjadi ibu pejabat kepada Cyclone Motorcycle.

Tidak sekadar majlis pra-tonton, MForce turut mengumumkan harga jualan untuk tiga model yang ditayangkan.

Diposisikan dalamn segmen 'kruiser', Cyclone RA600 diletakkan tanda harga RM 25,888 (asas).

Untuk Cyclone RE600 yang diposisi dalam segmen 'Naked' neo retro, ia dijual pada harga RM 25,888 (asas) manakala untuk model Cyclone RT3e yang berada dalam segmen skuter klasik, harga jualannya adalah RM 12,888 (asas).

Begitupun, MForce tidak memberikan tanda harga untuk Cyclone RX650 dengan motosikal yang bersaing dalam segmen 'Sport touring' itu hanya akan diketahui tanda harganya di Malaysia.

Sebagai info, Cyclone adalah salah satu jenama di bawah pengeluar motosikal gergasi China iaitu Zonsen.

Kepada yang mungkin sudah terlupa, MForce sebelum ini sudah memperkenalkan jenama Cyclone ke pasaran tempatan ketika acara Malaysia Autoshow 2024.