DAH 25 Kali Menang Di Isle of Man TT, Pelumba Legenda Ini Baru Dapat Lesen Menunggang Motosikal!

TULAR

3/8/20241 min read

DERETAN kemenangan yang dimiliki seseorang pelumba motosikal profesional itu tidak bermakna mereka memiliki lesen sah menunggang dan ia dibuktikan seorang lagi pelumba berstatus legenda kali ini di Isle of Man (IoM) TT, Michael Dunlop.

Kepada yang tak tahu, kejayaan yang dimiliki Dunlop di IoM TT bukannya sedikit, namun sudah 25 kemenangan berjaya diraihnya.

Dan kejayaan itu meletakkannya sebagai legenda perlumbaan 'Litar jalanan' dan hanya kurang 1 kemenangan untuk memecahkan rekod kemenangan terbanyak perlumbaan berkenaan.

Tetapi apa yang sedikit aneh, Dunlop memilih usia 34 tahun untuknya mendapatkan lesen menunggang yang sah.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran media sosial syarikat sekolah memandu di Ireland Utara, Moto Training NI.

Dalam gambar berkenaan, dapat dilihat Dunlop menjalani latihan dan ujian bersama Kawasaki Z650.

Ia jelas jauh daripada kemampuan jenteranya di IoM TT, Honda CBR1000RR-R Fireblade yang memiliki kuasa lebih 200 Hp.

Dunlop pada tahun lalu mencipta rekod baharu di IoM TT dengan merekodkan kelajuan purata 217.8 km/j dalam perlumbaan dan meraih empat kemenangan secara keseluruhan.

Jumlah 25 kemenangan yang diperolehnya setakat ini hanya kurang 1 kemenangan untuk menyamai jumlah kemenangan terbanyak IoM TT yang dipegang bapa saudaranya, Joey Dunlop.