DAH Ada Jangka Masa, Ninja ZX-4R, ZX-6R Dijadual Masuk Malaysia Tahun Depan!

TULAR

8/7/20231 min read

SALAH satu soalan yang kerap ditanyakan rakan media ketika acara membabitkan Kawasaki Malaysia adalah membabitkan motosikal '4 dapur' baharu jenama Jepun itu, Kawasaki Ninja ZX-4R.

Kepada yang tak tahu Kawasaki Ninja ZX-4R membuat debut global di Amerika Syarikat pada Februari lalu. Tak menunggu lama, ia sudah pun tiba di pasaran jiran, Thailand dan Indonesia.

Ketika acara Green Mania Kawasaki yang berlangsung, semalam, soalan mengenai Kawasaki Ninja ZX-4R sekali lagi diajukan dan ada jawapan menarik daripada 'orang kuat' Kawasaki Malaysia.

Dan daripada jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan dan Ketua Pegawai Pemasaran Modenas, Yusaku Kashiwagi, syarikat itu memang merancang untuk membawa masuk Kawasaki Ninja ZX-4R ke pasaran tempatan.

Lebih menarik, 'abang' kepada model 'Superspots' itu, Kawasaki Ninja ZX-6R generasi terbaharu turut akan dibawa masuk dan perancangannya adalah pada tahun depan.

Menurut Roslan, pihaknya ketika ini sedang berbincang secara 'serius' dengan pihak Kawasaki Jepun mengenai perkara terbabit.

Dan melihat tahap kemajuan dan penerimaan Kawasaki Malaysia 'Serba baharu' di pasaran tempatan, ia memang boleh dijangkakan, kata Roslan.

Mengulas trenkuasa ringkas trenkuasa Kawasaki Ninja ZX-4R, motosikal ini dipadankan dengan enjin 399 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC.

Menggunakan sistem transmisi 6 kelajuan lengkap dengan klac 'cable-actuated slip/assist' dan 'Quickshifter' (SE), kuasa yang dihamburkan adalah 76.4 Hp (Ram Air) dan 79.1 Hp (Tanpa Ram Air) pada 15,000 rpm dan tork 35.25 NM pada 11,000 rpm.

Untuk generasi terbaharu Kawasaki Ninja ZX-6R, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan kurang sedikit berbanding model generasi terdahulu iaitu 122 Hp pada 13,000 rpm (127 Hp pada 13,500 rpm - model terdahulu) dan tork 69.1 Nm pada 11,800 rpm.

Kawasaki Ninja ZX-6R

Kawasaki Ninja ZX-4R