'DAH Jadi Juara Dunia Kalau Yamaha Dengar Kata'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/29/20241 min read


MAVERICK Vinales mendakwa gelaran dunia MotoGP mungkin sudah selamat berada di kabinet trofinya jika Yamaha tidak mengendahkan nasihatnya.
Pelumba Sepanyol, Vinales menjadi pilihan Yamaha untuk menggantikan juara dunia tiga kali, Jorge Lorenzo pada 2017 selepas tampil dengan persembahan baik bersama Suzuki.
Vinales tidak menunggu lama untuk menyinar bersama Yamaha M1 dengan memenangi perlumbaan pembukaan di Qatar dan Argentina diikuti kemenangan pada perlumbaan pusingan lima di Le Mans.
Begitupun, tiada lagi kemenangan berjaya dicatatkan Vinales yang akhirnya menamatkan kempen di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang juara dunia, Marc Marquez (Honda) dan Andrea Dovizioso (Ducati).
Akan berlumba bersama KTM musim depan, Vinales mendedahkan sekalipun sudah memberitahu Yamaha dia tidak mahu jenteranya 'diusik', pengeluar Jepun itu berfikiran sebaliknya dan situasi itu dikatakan menjadi antara punca gelaran dunia tidak berjaya dicapai.
"Apabila saya menyertai Yamaha, saya datang seperti roket," kata Vinales dalam dokumentari diterbitkan penyiara DAZN, Maverick: two lives.
"Saya tiba dengan idea yang jelas, objektif yang jelas dan hanya satu perkara saya minta kepada Yamaha. Iaitu untuk menjadi juara dunia.
"Saya tidak mahu menjadi benda lain, jangan menjadikan saya sesuatu yang berlainan kerana saya mahu menjadi ini (juara dunia), saya tidak berminat dengan perkara lain.
"Apabila saya memperoleh jentera Yamaha di ujian Valencia, saya menggemarinya. Saya meminta mereka supaya jangan menyentuh apa-apa. Saya mahukan yang ini, iaitu jentera yang ditinggalkan Jorge.
"Saya kata, berikan saya jentera ini ke Qatar, dengan ini saya akan menjadi juara dunia. Tetapi apabila saya tiba di Sepang (Ujian pra-musim), di mana jentera itu?
"Saya menang perlumbaan pertama, perlumbaan kedua, saya menang di Le Mans, ia adalah salah satu hari terbaik dalam hidup saya. Saya menang banyak perlumbaan menentang idola saya Valentino Rossi.
"Tetapi di Barcelona berlaku pelbagai siri perubahan. Saya tidak memahami satu pun. Saya memberitahu mereka supaya jangan menyentuh jentera," katanya.
Vinales begitupun tidak menyebut Yamaha menjadikan rakan sepasukannya ketika itu, Rossi sebagai rujukan kepada jentera pasukan itu.
