'DAH Jangka Marc Marquez Akan Laju'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/1/20231 min read
TAK dapat dinafikan antara pelumba yang paling mendapat perhatian ketika sesi latihan MotoGP Valencia 2023 adalah juara dunia lapan kali, Marc Marquez yang 'bersalin kulit' menyertai Ducati.
Seperti dijangka, pelumba kelahiran Sepanyol itu tampil dengan debut yang meyakinkan malah pada satu ketika menjadi pelumba Ducati terpantas di atas litar Ricardo Tormo.
Secara keseluruhan, juara dunia MotoGP enam kali itu menjadi pelumba keempat terpantas dengan menggunakan jentera spesifikasi GP23 Ducati - jentera yang menjulang kejuaraan dunia musim ini.
Dan ia bukan keputusan yang mengecewakan kerana kedudukan itu turut menyaksikan pelumba Gresini Ducati itu menjadi pelumba kedua paling pantas dalam kem Ducati di belakang pelumba VR46 Ducati, Marco Bezzecchi.
Berikut adalah kata-kata pelumba yang turut menggunakan jentera Ducati mengenai persembahan Marc Marquez memetik laporan MotoGP.com.
Francesco Bagnaia
“Saya pernah berkata sebelum ini yang dia akan menjadi yang pertama pada ujian pertama. Saya terlepasnya dengan beberapa posisi tetapi dia pasti amat gembira dengan jentera itu. Kami melakukan kerja yang cukup menakjubkan sepanjang musim dan dia (Marc Marquez) boleh menikmatinya."
Alex Marquez
“Saya tidak bercakap dengannya jadi saya tidak boleh berkata apa-apa mengenainya tetapi dia (Marc) memang laju. Saya tidak tahu bagaimana dia melakukannya kerana saya melakukan perkara yang sama dan saya tahu dia akan pantas. Saya memang menjangkakan hari ini."
Jorge Martin
“Ia bukan sesuatu yang cukup mengejutkan dan dia (Marc) memang seorang yang amat-amat kompetitif. Jadi ayuh cari jalan bagaimana untuk menewaskannya."
Enea Bastianini
“Dia adalah Marc dan ia sesuatu yang menakjubkan. Gaya tunggangan yang cukup hebat. Ia pasti tidak sukar buatnya juga kerana kesemua pelumba Ducati adalah pelumba yang pantas jadi ia tidak akan mudah."
Marco Bezzecchi
“Kami memang menjangkakan yang dia akan laju. Semua orang menjangkakan perkara ini jadi ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia amat bagus. Saya melihatnya beberapa kali di atas litar dan dia sudah pun menunggang dengan cukup baik. Kami mengenali Marc Marquez dengan cukup baik. Dia tidak perlu menjelaskan apa-apa."