'DAH Menang 8 Perlumbaan MotoGP Musim Ini, 'Sakit' Kalau Pecco Tak Jadi Juara Dunia'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/10/20241 min read

BOS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi mengakui situasi pasti 'menyakitkan' jika pelumbanya, Francesco Bagnaia tidak menjulang gelaran dunia MotoGP pada musim ini.

Selepas 16 pusingan MotoGP musim ini berlangsung, pelumba kelahiran Itali itu sudah mengumpul 8 kemenangan berbanding 3 kemenangan yang diperoleh pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin.

Tetapi ironinya, penyandang juara dunia MotoGP itu tidak menghuni tangga teratas kedudukan pendahulu pelumba ketika ini, namun di kedudukan kedua dan ketinggalan 10 mata di belakang Martin.

Justeru menurut Tardozzi, situasi berkenaan tampak sudah difahami malah akan memberikan 'luka' kepada pasukannya jika kejuaraan tidak berjaya diperoleh.

"Sukar untuk difahami yang Pecco sudah menang 8 perlumbaan manakala Jorge 3 tetapi dia (Pecco) ketinggalan 10 mata di kejuaraan," kata Tardozzi memetik laporan GPOne.

"Ia adalah sesuatu yang menyakitkan, tetapi saya fikir Bagnaia mengetahuinya dengan baik dan saya yakin yang dia akan memberikan kepuasan yang dia dan keseluruhan pasukan layak dapat kerana pada akhirnya Pecco sedar nilai pasukan."

Tardozzi begitupun mengakui tidak bimbang dengan situasi berkenaan dan percaya Pecco mempunyai kemampuan untuk bergelar juara.

"Pecco tahu apa kekuatan mentalnya dan tidak gentar untuk berdepan Martin di Valencia bagi perebutan gelaran di gelanggang sendiri (untuk Martin). Ada rasa hormat yang besar di antara mereka.

"Cabarannya jelas terbuka dan akan dimainkan. Kedua-duanya (Pecco, Martin) berpeluang untuk memenanginya, siapa yang menang dia memang layak dan siapa yang kalah ia bukanlah tempat kedua."

Pusingan ke-17 MotoGP dijadual berlangsung di GP Australia di litar Phillip Island minggu depan.