'DAH Redha Tak Ke Q2'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/15/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia mengakui dia sudah bersedia untuk tidak memperoleh 'tiket' terus ke Kelayakan 2 (Q2) selepas sekali lagi mengharungi sesi latihan bebas sukar di Grand Prix (GP) Argentina 2025.

Kemelangan di Selekoh 2 di Termas de rio Hondo ketika latihan bebas 2 berbaki beberapa minit menyaksikan pelumba Ducati Lenovo itu tidak mampu untuk memperbaiki catatan terbaiknya.

Tetapi catatan itu pada akhirnya berjaya meletakkannya di kedudukan ke-10 terpantas sekali gus kedudukan terakhir untuk ke Q2 tanpa mengharungi Q1.

Dan ketika ditanya oleh MotoGP.com mengenai perasaannya, Bagnaia mengakui dia sangat lega.

"Saya sudah pun melihat diri saya tidak berada di Q2 (Secara terus)," kata Bagnaia. "Ia boleh menjadi sesuatu yang mengecewakan.

"Tetapi saya gembira. Gembira kerana perasaannya jauh lebih baik pada petang ini. Kami melakukan langkah yang baik dari sudut pelarasan jentera, dan ia amat membantu saya.

"Gembira kerana saya pada akhirnya merasa lebih baik ketika melakukan brek dan memasuki selekoh. Dan esok kami akan cuba melakukan satu lagi langkah."

Selepas memperoleh tempat ketiga di Thailand, Bagnaia ketika ini terdesak untuk membuktikan dirinya lebih-lebih lagi dengan prestasi yang ditampilkan rakan sepasukannya, Marc Marquez.

Ketika disoal mengenai persaingan yang bakal dihadapi di Argentina, Bagnaia tampil optimis.

"Saya bersedia untuk berjuang. Apa yang akan terjadi, akan terjadi. Tetapi saya rasa saya bersedia untuk bertarung."