DAH Sedia Nak Angkat Kaki Dari Yamaha Hujung 2024 - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/18/20241 min read

PELUMBA Yamaha, Fabio Quartararo mendedahkan dia pada satu tahap sudah bersedia untuk meninggalkan Yamaha MotoGP pada penghujung musim ini sebelum membuat 'Pusingan U' untuk kekal bersama pengeluar Jepun itu sehingga 2026.

Yamaha ketika ini mengalami penurunan prestasi mendadak yang menyaksikan Quartararo daripada menjadi juara dunia 2021 dan naib juara dunia pada 2022 gagal meraih sebarang kemenangan pada musim lalu.

Pada musim ini, pasukan itu masih belum berdiri di atas podium dengan tempat ketiga di Jerez pada Perlumbaan Sprint turut dibatalkan susulan penalti tekanan tayar.

Sebelum sah kekal di Yamaha, Quartararo menjadi antara pelumba buruan dengan Aprilia dikatakan menjadi antara pasukan yang ditimbangkan secara serius.

"Yamaha adalah pasukan berstatus legenda. Impian saya, ketika saya masih kecil adalah untuk berada di sana kerana Valentino Rossi ada di sana," kata Quartararo dalam temuramah di YouTube bersama 'Legend'.

"Saya sudah bersedia untuk meninggalkan jenama ini, sekalipun ia adalah pasukan impian saya, saya rasa bersedia untuk keluar.

"Dan kemudian Yamaha melakukan beberapa perubahan besar. Mereka melakukan pelaburan yang besar terhadap projek ini, menggaji ramai jurutera-jurutera baharu.

"Malah untuk Yamaha, ia tidak bagus untuk jenama berada di belakang dari sudut pemasaran.

"Malangnya, kamu tidak boleh kembali ke atas dalam tempoh beberapa minggu atau bulan. Saya fikir ia memerlukan beberapa tahun.

"Itu yang membuatkan saya untuk mengambil keputusan kekal di Yamaha, berada di mesyuarat-mesyuarat yang datang daripada jenama lain, yang sedang bekerja untuk projek yang amat besar."

Quartararo membuat debut di MotoGP bersama Yamaha pada 2019 bersama pasukan satelit dari Malaysia, Petronas SRT sebelum menyertai pasukan utama Monster Yamaha pada 2021 dan menjulang gelaran dunia.

Antara individu penting yang menyertai Yamaha adalah Max Bartolini dari Ducati yang memegang jawatan Pengarah Teknikal di Yamaha dengan pengeluar itu dikatakan sedang menguji enjin V4.