DAH Selesai - JDT Racing Team, Honda Racing Malaysia
Kemalangan membabitkan Hafizh Syahrin dan Zaqhwan Zaidi mencetus 'kecoh' dan dibawa ke paddock yang menyaksikan beberapa kejadian tidak diingini termasuk ejekan dengan kata-kata kesat selain isyarat tidak sepatutnya daripada kedua-dua pihak, JDT Racing Team dan Honda Racing Malaysia serta penyokong
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/13/20252 min read


SUDAH selesai. Itu pendekatan yang diambil kedua-dua pasukan, JDT Racing Team dan Honda Racing Malaysia berhubung 'kemelut' yang terjadi ketika Perlumbaan 2 kategori ASB1000 dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Kekecohan terjadi susulan insiden kemalangan membabitkan pelumba kedua-dua pasukan, Hafizh Syahrin Abdullah dan Md Zaqhwan Zaidi pada pusingan terakhir perlumbaan.
Situasi itu mencetus 'kecoh' dan dibawa ke paddock yang menyaksikan beberapa kejadian tidak diingini termasuk ejekan dengan kata-kata kesat selain isyarat tidak sepatutnya daripada kedua-dua pihak.
JDT Racing Team menerusi kenyataan rasmi memaklumkan bahawa insiden itu diteliti sepenuhnya oleh pihak penganjur ARRC, dan penalti sewajarnya sudah pun dikenakan mengikut peraturan kejuaraan.
"Insiden itu diklasifikasikan sebagai tidak disengajakan, berpunca daripada suasana perlumbaan yang sengit dan kompetitif, satu elemen yang lazim dalam dunia sukan permotoran," kata kenyataan itu.
Menurut JDT Racing Team, kedua-dua pasukan - JDT Racing dan Honda Racing Malaysia - sudah menyelesaikan perkara itu secara baik, sekali gus mengekalkan prinsip saling menghormati dan profesionalisme antara pelumba serta pasukan.
"Integriti dan semangat kesukanan kekal sebagai keutamaan kami. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan penganjur untuk memastikan piawaian tertinggi ditegakkan pada setiap masa," kata kenyataan itu.
Pasukan berkenaan turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memajukan sukan permotoran negara, selain menyeru peminat agar terus menyokong semua pelumba Malaysia yang bertanding dalam kejuaraan berprestij itu.
"Marilah kita terus menyokong semua pelumba Malaysia yang bertanding dalam kejohanan ini kerana mereka mewakili negara kita dengan bangga, keazaman dan semangat," kata pasukan itu lagi.
Sementara itu, Pasukan Honda Racing Malaysia mengesahkan sudah mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas beberapa krew pasukannya susulan kelakuan tidak wajar selepas insiden berkenaan.
“Honda Racing Malaysia dan JDT Racing Team sudah menyelesaikan perkara ini secara baik. Kami akan meneruskan sokongan kepada semua pelumba Malaysia yang bersaing dengan semangat 'Semangat Impian'," kata kenyataan itu.
Pasukan itu dalam masa sama menegaskan mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku yang tidak wajar oleh ahli pasukannya.
“Tanpa mengira keadaan atau emosi berikutan pelanggaran di litar, isyarat yang dibuat tidak boleh diterima dan tidak mewakili nilai atau profesionalisme yang dijunjung oleh Honda Racing Malaysia. Kami kesal atas sebarang kesulitan yang ditimbulkan kepada pasukan lain, penonton dan ahli komuniti sukan permotoran,” kata pasukan itu.
"Dan selepas diteliti, individu yang terbabit sudah digantung daripada semua aktiviti pasukan berkuat kuasa serta-merta."
Dalam insiden yang berlaku pada pusingan terakhir di selekoh kesembilan itu, Zaqhwan yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia cuba melakukan aksi memintas dari laluan dalam, manakala Hafizh mempertahankan kedudukannya dari laluan luar.
Susulan insiden itu, pihak ARRC mengenakan penalti terhadap Zaqhwan selepas mendapatinya melanggar Artikel 1.21.2.3 - ‘Tingkah Laku Semasa Latihan dan Perlumbaan’ - yang menekankan tanggungjawab pelumba untuk menunggang secara selamat tanpa membahayakan pelumba lain di atas litar mahupun di lorong pit.
Justeru, Zaqhwan dikenakan denda sebanyak AS$500 (RM2,111) serta penalti ‘Long Lap’ pada perlumbaan seterusnya.
Kemalangan itu menyaksikan Malaysia terlepas untuk membolot kedudukan podium di Sepang tetapi turut menyaksikan Hafizh terlepas kedudukan sebagai pendahulu carta kedudukan pelumba menuju pusingan penutup tirai di Buriram, Thailand pada Disember ini.
