DAH Sertai Ducati Lenovo, Marc Marquez Masih Tak Fikir Pecah Rekod Rossi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/11/20241 min read

MARC Marquez menegaskan sekalipun sudah menyertai Ducati Lenovo - pasukan yang dilabel terbaik di MotoGP ketika ini - dia langsung tidak berfikir mengenai potensi mencantas rekod milik Valentino Rossi.

Ketika ditanya adakah motivasinya untuk memintas rekod legenda MotoGP Itali itu kini meningkat susulan perpindahannya ke Ducati Lenovo musim depan, pelumba kelahiran Sepanyol itu berkata dia tidak menjadikan nombor sebagai rujukan.

Sebagai rekod, Rossi memiliki sembilan gelaran dunia dengan tujuh daripadanya diperoleh dalam kelas elit MotoGP.

Marquez dalam pada itu sudah menjulang lapan gelaran dunia, dengan enam daripada diraih di pentas MotoGP yang kali terakhir diperoleh pada musim 2019 bersama Repsol Honda.

"Saya tidak pernah meletakkan nombor sebagai rujukan," kata Marquez menjawab soalan AS ketika ditanya sama ada dia menyasarkan untuk memenangi lebih banyak gelaran dunia berbanding Rossi.

"Dan ketika ini, ia menjadi makin sedikit.

"Tahun ini saya berkata yang saya perlu menikmati diri saya sekali lagi untuk meneruskan karier saya dan saya berjaya mencapainya.

"Kami mencipta pelan, strategi. Jelas, ia bukan satu pelan tetapi dua, dan di situlah di mana keputusan di trek membawa kamu untuk mengambil salah satu daripadanya."

Sekalipun menunggang jentera Ducati spesifikasi musim lalu, GP23, Marquez yang beraksi bersama pasukan satelit Gresini Ducati sentiasa menjadi pencabar di podium musim ini tetapi kemenangan ke-60 kariernya masih belum dicapai.

Kali terakhir pelumba berusia 32 tahun itu meraih kemenangan adalah pada musim 2021 di Misano.

"Saya percaya dan yakin yang 60 akan tiba pada musim ini," katanya. "Bila? Tidak diketahui, tetapi salah satu yang saya belajar adalah jangan terlalu obses.

"Kerana jika hanya kemenangan bernilai, akan ada banyak kejatuhan. Kami sedang bermain kad, dan apabila kamu tidak mendapatnya, kamu tidak akan memilikinya.

"Di Mugello, saya memiliki kelajuan yang hebat ketika Sprint dan saya meraih tempat kedua dan pada Perlumbaan utama ia menjadi lebih sukar untuk saya dan saya mendapat tempat ke-4, tetapi ayuh berharap kemenangan akan tiba.

"Kemenangan perlu datang terlebih dulu, kerana tanpa kemenangan tidak akan ada gelaran."

Tidak seperti Rossi, yang turut menghabiskan dua musim bersama Ducati namun mengharungi musim terburuk kariernya, Marquez berdepan situasi sebaliknya bersama pengeluar Itali itu setakat ini.