DAH Tak Lama, Suzuki Malaysia Bakal Lancar Suzuki V-Strom 250SX (2024) Bulan Ini!
TERKINI
8/2/20241 min read


PENANTIAN panjang terhadap kehadiran Suzuki V-Strom 250SX (2024) di pasaran tempatan dijangka berakhir tak lama lagi selepas Suzuki Malaysia dikatakan akan melancarkan motosikal itu pada bulan ini.
Selain laporan daripada media automotif tempatan, perkembangan itu turut dikuatkan menerusi hantaran laman sosial rasmi syarikat itu, baru-baru ini.
Dan lebih menarik lagi menurut hantaran berkenaan, barisan pertama motosikal yang tempahannya sudah dibuka sejak tahun lalu itu juga dikatakan sudah penuh.
Seperti diketahui, kami di MotoDotMy.com sebelum ini pernah melaporkan yang pelancaran Suzuki V-Strom 250SX (2024) dijangka akan berlaku sebelum suku pertama 2024 berakhir namun ia meleset.
Begitupun ia pastinya mempunyai kaitan dengan kesulitan yang melanda syarikat itu iaitu membabitkan kemampuan kapasiti pengeluaran di kilang Suzuki Malaysia.
Mengulas ringkas mengenai Suzuki V-Strom 250SX, ia adalah model 'Adventure' paling rendah sesaran enjinnya dalam keluarga V-Storm dan dikatakan laku keras di beberapa pasaran termasuk di Asia Tenggara antaranya Filipina dan Indonesia.
Di bahagian trenkuasa, Suzuki V-Strom 250SX dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Minyak, Suntikan Bahan Api, SOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 26.1 Hp pada 9,300 rpm dengan tork 22.2 Nm pada 7,300 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork telekopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Informasi lain adalah seperti seperti set roda: 100/90-19 (depan), 140/7-17 (belakang), tinggi pelana 835 mm, jarak lega bumi 205 mm dan berat 167 kg.
Seperti motosikal moden lain dalam segmennya, Suzuki V-Strom 250SX (2023) turut dipadankan dengan sistem lampu LED penuh, ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Suzuki Ride Connect Edition dan Suzuki Easy Start System.
Setakat ini, tiada tarikh tepat membabitkan pelancaran Suzuki V-Strom 250SX (2024) yang dijangka diumumkan pada harga bawah RM 20k dapat dikongsikan namun sejurus kami mendapat maklumat daripada Suzuki Malaysia, ia akan pantas dikongsikan.






