DAMOK Akui Kurang Fokus, Tapi Gembira Pelarasan Jentera KTM Di Mandalika
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/16/20231 min read


PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman mengakui berpuas hati dengan pelarasan jentera KTM yang disediakan pasukannnya, MT Helmet-Msi ketika Grand Prix (GP) Indonesia 2023 namun kurang fokus menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-24.
Lebih pedih buat Damok, keputusan kurang memuaskan itu dicapai ketika rakan sepasukannya, Diogo Moreira melakar sejarah memenangi perlumbaan Moto3 di Mandalika.
Buat Moreira, kemenangan sulung kariernya dalam Moto3 turut membuktikan jentera KTM milik pasukan itu bukan saja mampu memberi saingan, namun merangkul kemenangan.
Dan kemenangan itu jelas bukan nasib dengan Moreira turut memulakan perlumbaan di petak utama selain podium ketiganya bagi musim 2023 ketika Damok terpaksa memulakan aksi di petak kedua tercorot (p28).
Damok dalam kenyataan media disediakan ZK Racing berkata: “Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan saya, Diogo Moreira, kerana memenangi perlumbaan Moto3.
"Tahniah juga buat pasukan saya kerana tanpa mereka kita tidak boleh berada di atas podium. Langkah perlumbaan saya pada hari ini (semalam) bermula agak lambat saya kurang gembira dengan apa yang saya lakukan. Saya berpuas hati dengan jentera saya dan apa yang pasukan telah lakukan.
"Saya masih perlu berkerja bersama pasukan untuk perlumbaan seterusnya. Saya harap dengan pelarasan jentera saya di IndonesianGP ini dapat digunakan pada perlumbaan seterusnya di Philip Island.
"Saya perlu lebih fokus untuk berada bersama kelompok hadapan dan berada di posisi lebih baik pada perlumbaan akan datang," kata Damok yang setakat hanya berjaya memungut mata di GP Argentina pada April lalu.
Dengan kemenangan di Mandalika, Moreira dari Brazil ketika ini menghuni tangga ke-7 keseluruhan kategori Moto3 selepas mengumpul 128 mata daripada 15 pusingan perlumbaan manakala Damok di tangga ke-25 dengan mengutip 5 mata.
Pelumba Sepanyol, Jaume Masia dari pasukan Leopard Racing-Honda ketika ini sedang memimpin perlumbaan selepas mengumpul 209 mata diikuti pelumba Jepun, Ayumu Sasaki 192 mata.




