DAMOK Dapat 'Tonik' Hadapi Kempen Moto3 GP San Marino

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/6/20231 min read

KEKECEWAAN di Barcelona, minggu lalu mahu dijadikan sebagai pembakar semangat oleh pelumba negara di kancah Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia, Syarifuddin Azman menjelang perlumbaan di San Marini, Misano, hujung minggu ini.

Sekali lagi menamatkan aksi di luar pungutan mata di Litar Catalunya pada Ahad, pelumba dengan julukan Damok itu mengharungi sesi ujian pada Isnin di litar sama dan inputnya dikatakan positif.

Selepas berakhir 11 pusingan perlumbaan, pelumba pasukan MT Helmets - Msi dan menunggang jentera KTM itu yang turut memburu gelaran 'Rookie' terbaik sekadar mengisi tangga ke-24 keseluruhan dengan mengumpul 5 mata.

Kekal dengan kata-kata sama iaitu mahu membuat yang terbaik di GP San Marino susulan kekecewaan di GP Catalunya, Damok turut menjelaskan ujian yang diharungi itu diharap memberi 'sinar' kepadanya di Misano.

"Saya telah selesai sesi ujian Isnin lepas, dan saya harap saya dapat gunakan apa yang saya peroleh dan pelajari bersama pasukan, juga jentera saya di pusingan Misano.

"Saya dan pasukan akan terus bekerja keras untuk musim ini," kata pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ketika ini, kejuaraan Moto3 dipimpin oleh pelumba Sepanyol, Daniel Holgado (Red Bull KTM Tech3) yang mengumpul 161 mata diikuti pelumba Jepun, Ayumu Sasaki (Liqui Moly Husqvarna Intact GP - 148 mata) dan pelumba Honda, Jaume Masia ketiga (129 mata).

Dalam persaingan gelaran 'Rookie' terbaik, pelumba Colombia, David Alonso (GasGas Aspar Team) mendahului dengan mengumpul 115 mata (ke-6 keseluruhan) dan pencabar terdekatnya adalah pelumba Sepanyol, Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) ke-8 keseluruhan dengan 81 mata.

Sedikit info mengenai GP San Marino yang berlangsung di Litar Misano Marco Simoncelli, ia mempunyai jarak sepanjang 4.23 km dengan 10 selekoh kanan dan 6 selekoh kiri.