DAMOK Dicabar Dapatkan Podium Di GP Malaysia 2023

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/17/20231 min read

SEDAR dengan prestasi kurang memberangsangkan yang diraih pelumba Moto3 negara Syarifuddin Azman ketika ini, ada cabaran disuarakan terhadap pelumba dengan panggilan Damok itu ketika Grand Prix (GP) Malaysia 2023 bulan depan.

Menjadi satu-satunya pelumba negara yang 'rasmi' berlumba di GP Malaysia 2023 setakat ini, Ketua Pegawai Eksekutif Azhan Shafriman Hanif berkata sekalipun bergelut dengan prestasi, dia mahu Damok mencipta kejayaan menaiki podium di Sepang.

Menurut Shafriman, beliau tahu dengan prestasi hambar ditampilkan oleh pelumba pasukan MT Helmets-Msi itu namun menjelaskan, apa saja boleh berlaku terutama ketika seseorang pelumba itu beraksi di laman sendiri.

"Kita semua tahu yang perlumbaan Moto3 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia amat kompetitif malah perbezaan 1 saat itu boleh menjadi antara tempat pertama dan ke-15 atau 10," kata Shafriman.

"Sekalipun kita tahu prestasi yang ditampilkan Damok ketika ini kurang memberangsangkan, tapi sebagai tuan rumah, kita mahu dia buat yang terbaik dan bagi saya, saya mahukan podium.

"Ini kerana kejayaan podium akan menyaksikan Jalur Gemilang akan dikibarkan di litar nanti," katanya.

Beraksi dalam penampilan penuh pertama dalam Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini, Damok tampak bergelut untuk menyesuaikan diri dan menghuni tangga ke-25 selepas 15 pusingan perlumbaan.

Lebih mengecewakan, daripada 12 perlumbaan yang diharungi (Tak beraksi 3 perlumbaan kerana kecederaa), Damok sekadar mengutip 5 mata yang diperoleh pada pusingan ke-2 di Argentina.

Turut mengecewakan, Damok pada musim depan sah tidak lagi bergelar pelumba pasukan MT Helmets-Msi selepas pasukan itu mengatakan kontraknya tidak akan disambung.

Sebagai info, ketika beraksi menerusi tiket 'Wildcard' musim lalu, Damok menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.