DAMOK Harap Tuah Podium Di Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/28/20251 min read

LITAR Algarve, Portimao, Portugal bukan sesuatu yang asing buat pelumba WorldSSP negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok.

Bakal membuat penampilan semula di Portimao untuk Pusingan 2 WSBK 2025 minggu ini, Damok memiliki pengalaman mengujakan di litar berkenaan apabila pernah dua kali berada di podium.

Kejayaan itu dicapai pelumba berusia 23 tahun itu ketika dia beraksi di pentas Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) bersama SIC Racing Team pada 2021.

Kembali di Portimao dengan lencana dan jentera berbeza, Damok berharap kejayaan yang diperoleh sebelum ini dapat dimanfaatkan di pentas WorldSSP.

"Teruja untuk kembali berlumba. Sejak perlumbaan di Australia, saya sudah bekerja keras menjalani latihan bagi mendapatkan persiapan yang baik untuk menghadapi saingan di Portugal," kata pelumba pasukan PETRONAS MIE Honda Racing itu.

"Saya cukup mengenali litar ini dengan baik dan sebelum ini pernah berada di podium di sini. Jadi, saya rasa bersedia untuk mengharungi cabaran ini dan akan memberikan segala-gala yang saya ada."

Pada pusingan pertama WorldSSP di Australia, Damok yang juga bekas pelumba Moto3 negara tidak berjaya mencipta impak yang diharapkan apabila gagal menamatkan kedua-dua perlumbaan dalam kelompok pungutan mata.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-17, pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 di kedudukan ke-19.