DAMOK Mahu Minimumkan Kesilapan Di Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/11/20231 min read

SASARAN sama diletakkan pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman ketika beraksi di Grand Prix (GP) Indonesia 2023, hujung minggu ini iaitu memungut mata kejuaraan.

Dan untuk melakukannya, pelumba pasukan MT Helmets-Msi berkata objektif utamanya dalam untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukannya terutama pada perlumbaan sebelum ini.

Selepas 14 pusingan perlumbaan berlangsung, satu-satunya perlumbaan yang memberikan catatan mata kepada pelumba dengan julukan Damok itu adalah di GP Argentina, April lalu.

Justeru, Mandalika bakal menjadi peluangnya untuk menamatkan 'kemarau' itu sekalipun ia kali pertama pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi di litar berkenaan.

"Saya sangat teruja untuk bersaing dan berlumba dalam GP Indonesia," kata Damok. "Hujung minggu ini, matlamat saya adalah untuk terus mempertingkatkan dan mendapatkan rentak yang baik bersama jentera.

"Objektif utama saya adalah untuk memperbaiki dari kesilapan yang saya buat dalam perlumbaan sebelum ini, bekerjasama dengan pasukan, dan teruskan hasil positif yang kami usahakan.

"Saya juga akan berusaha untuk mendapatkan mata dalam perlumbaan ini. Saya sasar untuk menjadi kompetitif dan menikmati perlumbaan."

Berikutan prestasi hambar yang ditampilkan, Damok pada musim depan sah tidak akan beraksi bersama pasukan MT Helmets-Msi dengan pengurusan ZK Racing ketika ini sedang berusaha keras untuk mendapatkan 'tempat' untuknya kekal berlumba.

Bersama MT Helmets-Msi, jentera yang digunakan oleh Damok adalah KTM - dengan jentera yang digunakannya sebelum ini terutama di Eropah (CEV) adalah Honda.