DAMOK Nak 'Reset' Untuk Aksi Di Malaysia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/30/20231 min read

SET semula. Itu yang ingin dilakukan oleh pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman selepas mengharungi perlumbaan yang tak diingini di Grand Prix (GP) Thailand 2023, semalam.

Pada perlumbaan semalam, Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok memperoleh sesi ujian bebas yang baik pada Jumaat namun bergelut pada sesi kelayakan dan perlumbaan.

Terpaksa memulakan perlumbaan di barisan ketujuh, Damok sekali lagi menamatkan perlumbaan di luar pungutan mata dan lebih teruk, di tangga ke-24.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus lumus dan bekerja keras pada minggu ini," kata pelumba pasukan MT Helmets-MSi itu.

"Pada awal sesi perlumbaan, saya sangat bergelut dengan jentera dan cuba untuk kekalkan kedudukan tetapi saya tidak dapat berada di kedudukan yang terbaik dari awal perlumbaan."

Bakal menghadapi GP Malaysia bulan depan, Damok yang ketika ini menghuni tangga ke-27 keseluruhan selepas mengumpul 5 mata berkata sasarannya adalah melakukan yang terbaik di Sepang.

"Saya perlu 'reset' dan lebih fokus untuk perlumbaan seterusnya di Malaysia, perlumbaan laman sendiri saya.

"Saya perlu berikan yang terbaik di depan semua peminat saya dah juga peminat sukan permotoran di Malaysia.”

Damok sebelum ini diumumkan sah akan meninggalkan pasukan MT Helmets-MSi pada musim depan dan perlu mencari pasukan baharu jika mahu kariernya di kejuaraan motosikal dunia diteruskan.