DAMOK P19 Perlumbaan 2 WorldSSP Australia 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/23/20251 min read


PELUMBA negara, Syarifuddin Azman sekali lagi menamatkan perlumbaan di luar pungutan mata selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-19 pada Perlumbaan 2 WorldSSP di Australia, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan pelumba dengan panggilan Damok itu pulang dengan 'tangan kosong' pada penampilan pertamanya di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 bersama pasukan PETRONAS MIE Honda Racing.
Pada Perlumbaan 1 semalam, bekas pelumba Moto3 itu menamatkan saingan di tempat ke-17 dan bertekad untuk mencipta keputusan lebih baik.
Begitupun, ia tidak kesampaian ketika rakan sepasukannya dari Jepun, Kaito Toba melepasi garisan penamat di tempat ke-9.
Perlumbaan 2 dimenangi pelumba pasukan PTR Triumph Factory Racing, Tom Booth-Amos dari pasukan, PTR Triumph Factory Racing.
Juara Perlumbaan 1, Stefano Manzi (Pata Yamaha Ten Kate Racing) menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan pelumba MV Agusta Reparto Corse, Bo Bendsneyder melengkapkan kedudukan podium.
Dalam pada itu, pelumba negara jiran, Aldi Staya Mahendra yang juga juara dunia WorldSSP 300 tahun lalu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.
