DANI Pedrosa Dapat Tiket 'Wildcard' Di Jerez, Pol Espargaro Mugello - KTM

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/13/20241 min read

KTM mengumumkan penampilan 'Wildcard' untuk dua pelumba ujian bintangnya di MotoGP, Dani Pedrosa dan Pol Espargaro musim ini.

Pedrosa seperti dijangka diberikan tiket 'Wildcard' di Grand Prix (GP) Sepanyol di Jerez pada 26 hingga 28 April ini.

Espargaro pula akan mengharungi debut 'Wildcard' di GP Itali di Mugello pada 31 Mei hingga 2 Jun depan.

Pada aksi 'Wildcard' di Jerez musim lalu, Pedrosa tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menamatkan Perlumbaan Sprint di kedudukan ke-6 dan ke-7 pada Perlumbaan utama dan hanya dibezakan enam saat di belakang pemenang.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu turut cemerlang pada penampilan kedua 'Wildcard' untuknya musim lalu di Misano apabila menamatkan aksi di tangga ke-4 pada kedua-dua perlumbaan.

"Saya cukup seronok di Jerez tahun lalu dan sambutan peminat juga menakjubkan," kata Pedrosa yang memiliki 31 kemenangan di MotoGP ketika bergelar pelumba sepenuh masa bersama Honda dari tahun 2006 hingga 2018.

"Kita semua tahu yang Jerez adalah lokasi yang istimewa. Bagi kami, ia juga penting untuk menggunakan beberapa rujukan daripada ujian kami dan meletakkan diri dalam suasana perlumbaan sekali lagi. Ini adalah alasan utama kami untuk bersaing pada 2024."

Espargaro pula akan membuat penampilan sulungnya selaku pelumba ujian selepas tempatnya di GasGas Tech3 diambil oleh pelumba 'Rookie' musim ini, Pedro Acosta.

"Amat gembira untuk kembali berlumba terutama di Mugello, yang juga tempat yang amat istimewa untuk berlumba dengan jentera MotoGP," kata Espargaro.

"Pasti menarik untuk kembali di grid bersama pelumba-pelumba ini. Saya rasa saya seperti diri saya yang 'lama' selepas kecederaan pada 2023.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke 'keluarga' MotoGP dan menunjukkan kerja yang hebat kami lakukan ketika ujian."

KTM seperti Aprilia, Yamaha dan Honda memiliki enam tiket 'Wildcard' sepanjang musim ini.