DANIAL Syahmi Dapat Tiket 'Wildcard' Moto3 GP British
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/1/20241 min read


PELUMBA muda negara, Danial Syahmi Shahril sekali lagi diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya apabila bakal beraksi menerusi tiket 'Wildcard' di Grand Prix (GP) British 2024 dalam kelas Moto3, hujung minggu ini.
Penampilan Danial di Silverstone adalah untuk menggantikan pelumba Itali, Luca Lunetta dari pasukan Sic58 Squadra Corse.
Seperti diketahui, Sic58 Squadra Corse adalah pasukan yang menggunakan jentera Honda di kejuaraan berkenaan.
Danial ketika ini beraksi di Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) bersama pasukan Asia Talent Team yang juga pasukan program pembangunan bakat Honda.
Pengesahan itu diumumkan oleh pengurusan pelumba itu, ZK Racing, hari ini dengan ia adalah penampilan ketiga Danial dalam perlumbaan berprestij itu.
Begitupun, ini bukan penampilan pertama Danial beraksi secara 'Wildcard' di Moto3 dalam kejuaraan dunia.
Tahun lalu, pelumba kelahiran Pulau Pinang itu membuat penampilan sebanyak dua kali di pentas Moto3 iaitu di GP Jerman bagi menggantikan Damok yang cedera selain 'Wildcard' di GP India.
