DANIAL Syahmi, Hakim Danish 'Turun' Di Trek Catalunya Untuk JrGP, ETC Minggu Ini, Apa Kata Mereka?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/13/20231 min read

DUA pelumba negara, Danial Syahmi Shahril dan Hakim Danish Ramli kembali ke trek bagi Pusingan 5 Kejuaraan FIM JuniorGP (JrGP) dan European Talent Cup (ETC) minggu ini di litar Catalunya, Barcelona Sepanyol.

Danial Syahmi bersaing dalam kategori JrGP bersama pasukan Asia Talent Cup manakala Hakim Danish berlumba bersama pasukan Motul Monlau SIC Racing di ETC.

Mengulas persiapan menjelang perlumbaan, Danial Syahmi berkata: “Saya ada bersama pasukan pada minggu lalu dan minggu ini dan giat menjalankan latihan fizikal untuk persiapan pusingan ke-5 ini.

"Dua perlumbaan bagi kategori saya, JrGP di litar Catalunya ini. Misi mendapatkan podium saya seperti biasa masih kuat, saya akan memberikan saingan terbaik dan terima kasih semua yang mendoakan kejayaan kami disini.”

Hakim Danish pula berkata: "Persiapan menjelang perlumbaan telah berjalan dengan baik. Saya secara mental dan fizikal telah bersedia. Hanya satu perlumbaan untuk pusingan ini. Saya akan memberikan persembahan yang terbaik dan mohon doakan kejayaan saya di litar ini.”

Seperti dinyatakan, hanya satu perlumbaan berlangsung untuk kategori ETC dan dua perlumbaan untuk JrGP dijalankan pada minggu ini.

Ketika ini, Danial Syahmi yang terpaksa melupakan beberapa pusingan JrGP susulan kecederaan yang menimpanya menghuni tangga ke-17 keseluruhan JrGP 2023 dengan mengumpul keseluruhan 18 mata.

Hakim Danish yang juga beberapa kali terjatuh ketika perlumbaan mengisi kedudukan ke-16 keseluruhan selepas mengumpul 24 mata.

Kepada yang berminat untuk menyaksikan perlumbaan ini secara langsung Live Streaming, pautannya adalah seperti di bawah iaitu di laman Facebook rasmi FIM JrGP.

Youtube Channel : https://youtube.com/@FIMJuniorGP

Laman Facebook: https://www.facebook.com/FIMJuniorGP