DANIAL Syahmi Kekal Beraksi Di JrGP 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/2/20241 min read
PELUMBA negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril dijadual sekali lagi berkelana di Eropah pada musim 2024 selepas dilaporkan menandatangi kontrak setahun bersama pasukan Junior Talent Team.
Perkembangan menarik itu diperoleh memetik laporan Kosmo! dengan pelumba berusia 22 tahun itu dikatakan mengikat kontrak setahun bersama Junior Talent Team yang juga pasukan pembangunan bakat Honda.
Dan perlumbaan yang disertainya adalah Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) yang berlangsung di Eropah.
Danial yang menyertai Junior Talent Team dengan tiket naib juara Asia Talent Cup 2021 mengharungi kempen agak mengecewakan pada musim 2023 dengan manamatkan saingan di kedudukan ke-20 keseluruhan.
Jadi, penampilan ketiganya di JrGP pada musim ini boleh dianggap sebagai peluang terakhir bagi pelumba kelahiran Pulau Pinang itu dalam usahanya untuk 'naik pangkat' ke Kejuaraan Motosikal Dunia.
Mengakui musim 2024 sebagai penting buatnya, Danial berkata antara sasarannya adalah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam setiap perlumbaan termasuk berada di podium.
Menurutnya, segala kesilapan yang dilakukan pada musim lalu akan dijadikan pengajaran terutama yang mengakibatkannya dikenakan penalti 'Long lap' hingga merencatkan rentaknya.
“2024 boleh dikatakan tahun yang mencabar dan peluang terakhir untuk saya jelmakan keputusan terbaik sekiranya ingin terus bersaing," kata Danial memetik laporan Kosmo! "Saya tiada pilihan selain menampilkan tunggangan terbaik."